'Nak pasukan yang bagus kena sabar' - Teong Kim

Teong Kim
Teong Kim
A
A
A

PENGENDALI pasukan Perak FC, Datuk Lim Teong Kim mahu semua pihak terus memberikan kepercayaan kepadanya dalam usaha membentuk pasukan terbaik.

Jelasnya, usaha itu sedang berjalan dan masih memerlukan masa untuk memastikan skuad Perak FC menjadi pasukan yang kuat.

Menurutnya, kemenangan ke atas Kuching City FC menaikkan momentum pasukan untuk terus melakar kemenangan pada perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Ini pasukan baharu, kita kena bersabar. Jika kita letakkan terlalu banyak tekanan kepada pemain, itu tak akan membantu. Mereka hanya dalam lingkungan umur 21 dan 22 tahun.

"Jadi jika kamu nakkan pasukan yang bagus, kena bersabar, peminat kena bersabar. Biar saya buat kerja saya. Beri saya masa, saya akan bagi pasukan yang terbaik sebab ini merupakan satu proses," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC menentang Kuching City FC di Stadium Perak di sini pada Ahad.

Sementara itu, Teong Kim mahu peminat terus memberikan sokongan dengan memenuhkan Stadium Perak pada perlawanan akan datang.

Katanya, sokongan peminat amat penting dalam memberikan semangat dan motivasi kepada pemain.

"Semasa saya main dulu, stadium penuh. Saya tak biasa main stadium tak penuh. Jadi saya mahu penonton datang membantu kami. Kita perlu fans datang seperti dulu. Bagi saya sekarang kemeriahan suasana penyokong berkurang.

"Saya pasti kalau kemeriahan suasana itu ada, ia sesuatu yang bagus untuk membangkitkan semangat dan kesungguhan pemain. Kita perlukan ini semua kerana pemain ke-12 itu penting bagi kami. Saya harap penonton akan datang pada perlawanan akan datang," katanya.

Sementara itu, kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC menyaksikan Perak FC melonjak ke tangga keenam Liga Super dengan mengutip lima mata selepas empat perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!