Sudah 21 hari, Puad persoal keadilan Najib tertangguh
SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat masih lagi tertangguh setelah 21 hari laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah memaklumkan perkara berkenaan pada 23 Februari lalu, namun tiada tindakan dilaksanakan.
Ujarnya, penangguhan itu secara tak langsung akan menyebabkan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC International tidak mendapat keadilan yang telus
"Apakah keadilan untuk Najib tertangguh? Adakah adil tiada tindakan diambil sebelum keputusan semakan kehakiman dalam kes SRC Najib diputuskan?
"Rakyat ingin tahu jika benar siasatan terhadap Nazlan membuktikan memang wujud 'konflik kepentingan' dan 'pelanggaran etika' yang membolehkan Hakim Nazlan didakwa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar keputusan hasil siasatan itu didedahkan kepada orang ramai supaya dapat menegak keadilan untuk Najib.
"Tahniah Azalina kerana beritahu Parlimen laporan itu telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.
"Tulisan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abd Hamid Mohamad 'Mahkamah Persekutuan Membuat Undang Undang Sendiri' amat tajam dan menjadi hujah penting bahawa tidak ada sebab SPRM tidak boleh menyiasat seseorang Hakim (saya akan komen esok).
"Tetapi hari ini kita mendesak jangan tangguh keadilan untuk Datuk Najib Razak," ujarnya.
Pada 23 Februari lalu, media melaporkan laporan SPRM terhadap Mohd Nazlan, berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009, telah diserahkan kepada Tengku Maimum.
Azalina berkata, SPRM memaklumkan perkara itu kepada beliau menerusi surat bertarikh 21 Februari 2023.
Bagaimanapun katanya, tiada maklumat lanjut mengenai perkara tersebut, dimaklumkan dalam surat itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!