Tiga maut dalam nahas babit dua kenderaan

No Image Caption
A
A
A

PENAMPANG - Kenderaan dipandu secara melawan arus punca tiga lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan di sini pada malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, tiga mangsa berusia antara 17 hingga 58 tahun disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan dua kenderaan dalam kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan yang dipandu secara melawan arus memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain secara berhadapan.

"Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan rosak teruk di bahagian hadapan selain mangsa turut mengalami kecederaan.

"Tiga mangsa lelaki dari kedua-dua kenderaan kemudian disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mayat semua mangsa di bawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!