Agong berangkat ke majlis perjumpaan semula rakan kadet RMAS
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis santapan malam sempena perjumpaan semula bersama rakan kadet Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) di ibu negara, malam tadi.
Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut hantaran dalam Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka disambut 13 rakan kadet Intake SMC 19 yang menjalani latihan bersama Al-Sultan Abdullah di RMAS, United Kingdom pada 1978 dan 1979.
Kesemua mereka tiba dari United Kingdom semalam bagi lawatan ke Malaysia atas undangan Seri Paduka.
"Pada majlis santapan tersebut, Seri Paduka berkenan beramah mesra, bertanya khabar dan mengimbau kenangan manis dengan para rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst.
"Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke majlis ini mencerminkan keperibadian tinggi baginda dan keakraban serta keutuhan semangat setia kawan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lepas," menurut kenyataan itu.
RMAS ialah sebuah institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia yang amat terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!