PRN: PRM tanding 15 kerusi DUN Pulau Pinang
GEORGETOWN - Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Kerusi tersebut adalah 10 di kawasan pulau iaitu di DUN Teluk Bahang, Air Putih, Tanjung Bungah, Kebun Bunga, Pulau Tikus, Seri Delima, Sungai Pinang, Air Itam, Pantai Jerejak dan Batu Maung.
Lima lagi kerusi di kawasan seberang, namun akan diumumkan oleh pemimpin tertinggi parti tersebut nanti.
Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, sehingga kini, senarai calon belum dimuktamadkan dan pihaknya masih berbincang untuk meletakkan calon paling sesuai di kerusi tumpuan.
Menurutnya, senarai calon yang sedang diteliti terdiri daripada muka baharu selain pemimpin veteran parti berkenaan.
"Kebanyakan calon yang akan bertanding di Pulau Pinang adalah anak jati negeri ini, lingkungan usia bermula dari muda hingga ke berusia. Dari segi usia, kita tidak mempunyai masalah kerana orang muda pun boleh beri tentangan hebat, contohnya kita pernah meletakkan calon berusia 26 tahun di Parlimen Kota Raja untuk melawan Mohamad Sabu.
"Bagaimanapun, kita belum memuktamadkan lagi, hanya satu kerusi sudah sah iaitu Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu akan bertanding di DUN Air Putih untuk melawan Lim Guan Eng. Kita yakin, walaupun kita parti kecil dan bebas, PRM yakin akan memberi tentangan hebat kepada pihak lawan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat itu berkata, PRM yakin akan memenangi sekurang-kurangnya lima daripada 15 kerusi yang ditandingi.
"PRN kali ini, kita memberi tumpuan kepada Pulau Pinang dan Selangor. Bagaimanapun, kita juga akan bertanding di negeri lain seperti Kelantan, cuma tumpuan kita adalah di sini.
"Memang ada desakan untuk kami bertanding di Kelantan, namun kita belum putuskan lagi. Malah kerusi yang akan ditandingi di negeri lain pun belum dimuktamadkan lagi," katanya.
Menjawab soalan media sama ada beliau akan bertanding atau tidak, Mohamad Ezam berkata, beliau kemungkinan bertanding di Pulau Pinang namun tidak menamakan kerusi yang akan ditandingi.
Sementara itu, Yee Cheu berkata, beliau nekad untuk melawan Guan Eng yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kerana ingin menjadi pembangkang yang bersih di Pulau Pinang yang kini didominasi oleh DAP.
Menurutnya, kerajaan negeri kini dilihat tidak mengamalkan sistem demokrasi apabila empat ADUN pembangkang diarahkan mengosongkan kerusi DUN baru-baru ini.
"Saya ingin melawan Guan Eng di Air Putih kerana ingin memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar bersih dan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN. Selama 68 tahun, PRM tidak pernah dicemari dengan isu rasuah.
"Selain itu, saya akan menumpukan kepada isu rakyat. Mana mungkin, seorang pemimpin yang memegang dua jawatan iaitu ahli Parlimen dan ADUN boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada rakyat di peringkat negeri.
"Saya ikhlas dalam membantu rakyat sejak dahulu lagi. Oleh itu, saya memohon agar rakyat berfikir panjang dalam memilih wakil rakyat mereka pada PRN nanti. Pilihlah wakil rakyat yang betul-betul akan bawa suara rakyat di peringkat negeri ke sidang DUN," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PRM mempertaruhkan lima kerusi Parlimen namun kalah di kesemua kerusi tersebut.
Lima kerusi tersebut adalah Parlimen Bayan Baru, Bukit Bendera, Jelutong, Batu Kawan dan Nibong Tebal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!