[VIDEO] Bapa harap kemelut rumah tangga Hafidz selesai cara baik
HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Bapa pelakon, Hafidz Roshdi berharap kemelut rumah tangga anaknya dapat diselesaikan dengan cara baik.
Bagaimanapun, Roshdi Ahmad berkata, bagi pertuduhan menumbuk isteri hingga mendatangkan kecederaan yang dihadapi anaknya, beliau menyerahkan perkara itu untuk diadili mahkamah.
"Sekarang kes ini sedang diadili dan kita doakan yang terbaik.
"InsyaALLAH kita (keluarga) juga akan selesaikan masalah ini (kemelut rumah tangga Hafidz) dengan cara terbaik," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Isnin.
Roshdi terdahulu menemani Hafidz yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menumbuk hingga mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pada 2 Mac lalu.
Namun, bintang filem Pusaka itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret.
Mahkamah kemudian memerintahkan Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi diikat jamin sebanyak RM4,000 selain perlu menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.
Hafidz berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangganya menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan dia berlaku curang.
Rentetan itu Hafidz dilaporkan menceraikan Shuhada dengan talak satu melalui panggilan telefon bersaksikan keluarga pada 22 Februari lalu.
Kemelut rumah tangganya itu lebih panas apabila beliau didakwa bertindak menumbuk hingga mencederakan isterinya.
Perbalahan pasangan itu dilihat terus berlanjutan apabila kedua-duanya sebelum ini turut berbalas surat terbuka di media sosial Instagram.
Antara kandungan surat terbuka Hafidz adalah menuntut permohonan maaf daripada Shuhada dan mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dalam tempoh 48 jam.
Dakwa Hafidz, Shuhada dalam hantaran Instagram bertarikh 5 Mac 2023 menyebut adiknya bersubahat dan keluarganya bersifat toksik.
Dalam pada itu, Roshdi meminta agar isu yang tidak berkaitan dengan pertuduhan mahkamah itu tidak terus dibangkitkan oleh mana-mana pihak.
"Bagi isu yang tak patut dibangkitkan sepatutnya kita elakkan kerana pada saya ia boleh beri kesan tidak baik. Ia menjejaskan nama baik (keluarga) dan ia perlu dihentikan
"Kami bukan seperti yang difitnah. Orang kenal kami dan selama ini kami cuma berdiam (diri)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!