186 PEDi bakal diwujudkan di seluruh negara - Fahmi
JOHOR BAHRU – Sebanyak 186 Pusat Ekonomi Digital (PEDi), bakal diwujudkan di seluruh negara dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi orang ramai khususnya golongan peniaga.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini sememangnya kewujudan PEDi telah berfungsi dengan baik berdasarkan kepada kejayaannya membantu ekonomi rakyat.
Malah katanya, PEDi ini akan diperluaskan lagi di Johor terutamanya di 11 DUN dengan menyasarkan satu DUN satu PEDi.
“Langkah (wujudkan) PEDi ini memang berfungsi baik dan difahamkan, lebih 1,600 keluarga dari kampung-kampung di dalam DUN Tiram datang ke sini (PEDi) di mana jumlah ini membuktikan lebih 25 peratus penduduk datang ke sini.
“Ini merupakan satu petanda yang baik dan saya juga dengar PEDi ini mampu tingkatkan ekonomi penduduk; sebelum ini pendapatan sebulan RM20 naik ke RM600, jual cendol RM150 sebulan, sekarang RM2,500 dan sebagainya.
“Jadi, dengan adanya PEDi serta program-program yang diatur, diharap ia dapat memacu peningkatan ekonomi,” katanya ketika melawat PEDi, Kampung Sungai Tiram pada Isnin.
Sebelum itu, Fahmi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir melibatkan barang-barang keperluan asas serta wang tunai RM500, selain mengagihkan 120 beg sekolah kepada pelajar-pelajar yang dijadualkan mula bersekolah minggu hadapan.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam mengenal pasti sekolah-sekolah yang terkesan akibat banjir.
Katanya, kerjasama itu juga bertujuan untuk memastikan sekolah-sekolah berkenaan tidak berdepan dengan masalah daripada segi rangkaian atau network (jaringan), jika terpaksa melaksanakan modul bagi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kelak.
“Jika ada PEDi, kita akan ikhtiarkan agar ana-anak boleh buat PDPR di situ. Sekolah buka minggu depan dan kita ada masa sikit dalam beberapa hari berbaki ini.
“Kita akan menghubungi pihak kementerian, selain JPNJ mengenai perkara ini.
“Selain itu, difahamkan, hampir 200 menara di seluruh Johor terkesan akibat banjir, namun lebih separuh telah berjaya ‘dihidupkan’ semula dan ketika ini lebih 160 atau lebih 80 peratus telah berjaya ‘dihidupkan’ balik...mungkin ada empat di Batu Pahat yang masih terkesan, tapi kita masih tunggu maklumat terkini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!