Bomba bantu terbangkan bayi Orang Asli ke hospital
GUA MUSANG - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan perubatan (Medevac) memindahkan seorang bayi Orang Asli berusia sembilan bulan yang mengalami asma selama tiga hari dari Pos Balar ke Hospital Gua Musang, pada Ahad.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata, penugasan berkenaan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland AW139 membawa Aidil Aiman Remi bersama kedua ibu bapanya Abol Vina Along, 26, dan Remi Zesali, 23.
"Bayi tersebut berada dalam keadaan lemah dan pucat selain mengalami selesema serta batuk,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya anak kapal berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara pada jam 12.53 tengah hari dan tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada jam1.52 tengah hari.
"Operasi ini turut disertai dua kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dibawa dari BBP Gua Musang. Pesawat ini tiba di Pos Balar pada 2.12 petang dan kembali ke BBP Gua Musang pada 2.35 petang,” katanya.
Tambah Muhammad Akmaluddin, anak kapal memulakan penerbangan pulang ke Pangkalan Udara Wilayah Utara pada 2.39 petang setelah pesakit dibawa ke hospital berkenaan menggunakan ambulans dari BBP Gua Musang.
"Operasi membabitkan lima anggota Unit Udara dan diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya pukul 3.38 petang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!