Anak muda perlu selalu disantuni - Shahaniza
SHAH ALAM – Usaha menyantuni anak muda bukan sekadar rutin dilakukan secara bermusim tetapi perlu digerakkan secara konsisten, berstrategi serta menarik sepanjang masa.
Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, gerakan mendekati golongan muda atau belia bukan hanya terletak pada bahu sayap UMNO sahaja sebaliknya merupakan tugas keseluruhan jentera parti.
Beliau berkata, generasi muda hari ini boleh menilai kewibawaan mana-mana parti termasuk UMNO secara keseluruhan, sebelum menyatakan sokongan menerusi ledakan informasi di media sosial.
“Oleh sebab itu, UMNO mesti berani tampil berdepan dengan pembangkang dan menjelaskan isu-isu yang menjadi keresahan rakyat terutama dalam kalangan anak muda.
“Ini kerana generasi muda hari ini mahukan pemimpin yang berani untuk berdebat dan berhujah dengan fakta, bukan hanya pandai berceramah semata-mata.
“Kita jangan harap anak muda akan mahu dekat dengan UMNO sekiranya hanya mendekati mereka secara bermusim, sebaliknya perlu sepanjang masa dalam menyelesaikan isu berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Shahaniza antara calon bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan diadakan pada 18 Mac ini.
Ketua UMNO Bahagian Maran itu akan menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian Siri 388 bertajuk 'Pemilihan UMNO: Strategi Kembali Berkuasa?' di Studio F, Media Karangkraf malam esok.
Shahaniza berkata, bagi merealisasikan gerakan kolektif mendekati anak muda, semua ahli di dalam UMNO perlu berganding bahu bersama kepimpinan tertinggi bagi membentuk satu pasukan yang kuat.
Jelas beliau, kesepaduan parti amat mustahak untuk kepentingan UMNO sendiri selain mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang didukung hari ini.
"Kalau kita tidak mempunyai sebuah parti yang kuat, bagaimana kita dapat mengekalkan kedudukan kita dalam kerajaan hari ini.
"Kerajaan hari ini adalah Kerajaan Perpaduan yang bersandarkan kepada parti-parti untuk membentuk sebuah kerajaan.
"Kalau parti kita tidak kuat, orang tidak mahu dengan kita. Oleh itu, kita perlu mengenepikan perbezaan. Saya rasa, kita pun sudah muhasabah diri dan kenal pasti apa kelemahan kita.
"Jadi inilah masanya untuk kita membentuk satu pasukan baharu bersama-sama Presiden dan Timbalan Presiden bagi menguatkan lagi parti daripada sebelum ini," ujar bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang itu.
Mengenai senarai calon jawatan MKT UMNO bagi penggal 2023-2026, Shahaniza berkata, kepelbagaian latar belakang calon yang bertanding adalah satu kelebihan kepada parti.
“Saya tengok ada gabungan pemimpin lama, profesional, wanita dan juga orang muda. Semoga perwakilan kali ini dapat membentuk satu pasukan yang lengkap terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran untuk mengukuhkan lagi parti kita.
“Saya rasa, penilaian tentang mereka yang menawarkan diri ini perlu dibuat dengan lebih berhati-hati seperti kita mahu membentuk sebuah pasukan bola sepak.
"Mana boleh semua orang nak jadi ‘striker’ sahaja, sebaliknya kita mahu mereka duduk di posisi masing-masing,” kata pemilik nombor calon 50 itu.
Pada Pemilihan UMNO 2023 ini, seramai 95 calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan MKT di mana tujuh calon adalah wanita.
Selain Shahaniza, turut bertanding adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Rosni Sohar, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Julie Sabran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!