AEON BiG bantu mangsa banjir
Pelbagai barangan keperluan asas di hantar ke PPS di Johor
KUALA LUMPUR - AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG ) menyumbangkan bantuan bencana banjir kepada lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor yang melibatkan lebih kurang 1,500 mangsa.
Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, sumbangan yang diberikan 3 Mac lalu itu bertujuan bagi membantu mangsa-mangsa termasuk kakitangan AEON BiG yang terkesan akibat bencana banjir besar yang berlaku di Johor baru-baru ini.
Ujar beliau, antara PPS yang menerima bantuan termasuk PPS Sri Medan, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Rengas Sri Medan, PPS SK Parit Bilal, PPS SK BUKIT SOGA dan PPS Surau Al-Syakirin Taman Sri Wangsa Parit Besar.
“Banjir besar yang berlaku di Johor amat menyedihkan. Ini bukan kali pertama AEON BiG menyalurkan bantuan seperti ini.
“Kami ada tiga pasar raya di Johor dan walaupun tidak terjejas tetapi bandar-bandar sekeliling termasuk staf-staf kami terjejas apabila rumah-rumah mereka dimasuki air.
“Jadi minggu lepas ketiga-tiga Pasaraya AEON BiG telah pun menghantar sumbangan kepada PPS terutama di Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru untuk membantu mereka yang terlibat.
“Kami menyediakan barangan asas mereka di PPS seperti makanan, lampin pakai buang, selimut dan pakaian untuk mangsa-mangsa di sana,” katanya kepada Sinar Harian di AEON BiG, Wangsa Maju pada Khamis.
Selain itu, ujar Sheikh Farouk, pasukan bantuan bencana AEON BiG turut membekalkan barangan seperti bahan mentah dan barangan keperluan seperti tikar, penyapu, mop, tong air, ubat gigi, berus gigi, tuala wanita, beras, gula, kopi, teh, bihun dan minyak masak.
Menurutnya, kira-kira 50 orang sukarelawan yang juga kakitangan AEON BiG di Johor menyertai misi bantuan tersebut dan mengagihkan barangan bantuan di PPS yang telah ditetapkan.
“Salah satu cabarannya adalah perjalanan untuk menghantar barangan bantuan sebab banyak jalan-jalan ditutup. Jadi, sesetengah kawasan itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda sahaja.
“Kami turut mendapat pertolongan daripada pihak polis, bomba dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kami menghantar barangan kepada PPS.
“Sehingga kini kami masih lagi meneruskan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor,” ujar Sheikh Farouk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!