'Bikers' maut motosikal bertembung MPV
KLUANG – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 44, Jalan Jalan Batu Pahat - Mersing, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV jenis Toyota Wish itu yang datang dari arah Kluang menghala ke Masjid Jamek Sri Lalang membelok ke kanan di simpang masjid.
Katanya, ketika membelok, kenderaan MPV itu telah bertembung dengan motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki ZX636-E yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi itu yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an, telah meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di kepala.
“Dalam masa sama, pemandu dan dua penumpang MPV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis bertindak menahan pemandu MPV berkenaan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Affendi Mustafa, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan sekitar 1.02 petang, Ahad.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan, satu jentera FRT, satu jentera EMRS dengan 10 anggota bomba dari BBP Kluang telah dihantar ke lokasi.
“Setibanya ke lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan berkenaan melibatkan motosikal jenis Kawasaki 1000cc dengan kereta jenis Toyota Wish.
“Penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
“Dalam pada itu pemandu dan juga penumpang kereta Toyota Wish melibatkan seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan didapati berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
PKO kemudiannya membuat penyelamatan dan mengangkat mangsa yang meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan punca kemalangan masih belum dikenal pasti dan operasi telah ditamatkan pada 1.42 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!