Industri percetakan semakin tenat
KATHMANDU, NEPAL - Industri percetakan akhbar mahupun majalah di Malaysia berdepan dengan situasi kritikal ekoran perkembangan media baharu yang lebih menarik minat golongan pembaca Gen-Y.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, generasi Gen-Y lebih cenderung mendapatkan berita melalui gadjet kerana golongan itu tidak berminat dengan paparan berita secara konvensional.
Berucap di Asia Pacific Summit 2018-Nepal baru-baru ini, disebabkan itu katanya, industri percetakan di Malaysia merudum, jualan menjunam sehingga menyebabkan sebahagian syarikat percetakan menghentikan penerbitan malah ada yang gulung tikar.
“Akibat daripada kejatuhan jualan, ia menyebabkan pengiklanan dalam akhbar terkesan sehingga menyebabkan masalah kewangan.
“Sebab utama ‘kematian’ media cetak adalah kebangkitan media baharu - surat khabar atas talian, portal berita, media sosial dan sebagainya. Pembaca terutamanya Gen-Y lebih memilih untuk mendapatkan berita melalui gadjet. Mereka sudah tidak berminat dengan surat khabar secara tradisional,” katanya ketika berucap dalam Ucaptama Menangani Cabaran Kritikal Hari Ini: Peranan Media.
Disebabkan itu katanya, pengamal media di Malaysia boleh dikatakan sebagai ‘depressmen’ dan bukan lagi ‘pressmen’.
Katanya, bagi memastikan industri percetakan tidak terkubur, industri ini terpaksa mengikut trend semasa namun kurang mendatangkan keuntungan seperti secara konvensional.
Sebagai contoh katanya, Sinar Online salah satu terbitan Karangkraf yang mempunyai lebih tiga juta pembaca dan sering menjadi antara tiga portal berita terbaik di Malaysia juga sukar mendapatkan keuntungan.
“Tidak mendatangkan banyak keuntungan. Kami mempunyai bilangan pembaca yang ramai tetapi margin keuntungan amat sedikit. Kami depressmen!,” katanya.
Bagaimanapun katanya, biarpun industri percetakan berdepan dengan suasana tidak sihat, namun beliau percaya tugas seorang media itu tidak berubah.
“Wartawan, editor, jurugambar dan pereka grafik masih mempunyai tanggungjawab untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
“Tiga tugas asas media, seperti yang diungkapkan dan diajar di universiti adalah menghebahkan, mengajar dan menyantuni. Sudah tentu tiga perkara asas ini masih dipegang oleh media di Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!