Kesilapan teknikal, bukan pengundi hantu - UMNO Kedah

Ariffin (kanan) berkata, tidak timbul isu pengundi hantu ketika pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah Sabtu lalu.
Ariffin (kanan) berkata, tidak timbul isu pengundi hantu ketika pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah Sabtu lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kesilapan teknikal dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan pemilihan sayap Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah ditangguhkan, bukan disebabkan wujudnya pengundi hantu seperti didakwa.

Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man menjelaskan, semakan yang dilakukan mendapati berlaku kesilapan teknikal antara pendaftaran perwakilan, dengan tambahan 49 kertas undi yang dikira ketika proses penjumlahan adalah milik perwakilan yang sah.

"Sebenarnya pihak jawatankuasa pemilihan gagal mendaftarkan perwakilan dengan betul ketika ketibaan mereka untuk mengundi.

"Ini menyebabkan beberapa perwakilan yang mempunyai surat pentauliahan tidak didaftarkan sebagai pengundi sehingga menimbulkan kekeliruan ketika proses penjumlahan undi,” katanya di sini pada Isnin.

Justeru Ariffin berkata, tidak timbul isu pengundi hantu ketika pengundian, ia hanyalah andaian awal oleh pihak yang membuat bantahan.

Berikutan itu beliau berkata, pihaknya memutuskan pemilihan bagi Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah diadakan semula di Ibu Pejabat UMNO Kedah pada Rabu ini.

“Proses pemilihan akan diuruskan Jawatankuasa Pemilihan Badan Perhubungan UMNO. Urusan pengundian akan dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan dipantau oleh wakil daripada UMNO pusat,” katanya.

Ariffin memaklumkan, perwakilan Wanita Kuala Kedah berpeluang memilih ketua untuk menerajui sayap itu bermula 2.30 hingga 5.30 petang untuk membuang undi.

Pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian itu menyaksikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mencabar penyandang, Noor Hasita Mat Isa.

Pada Sabtu, Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati sebanyak 570 kertas undi diterima selepas proses pengundian berbanding 521 perwakilan yang hadir pada mesyuarat sayap itu.

Berikutan itu, keputusan dibuat untuk menangguhkan pemilihan sayap Wanita Kuala Kedah setelah terdapat ura-ura kemungkinan pemilihan bahagian tersebut dicemari pengundi hantu dalam proses undian.

Sebanyak 750 perwakilan wanita layak memilih dengan kehadiran seramai 521 orang pada pemilihan merangkumi 150 cawangan di Bahagian Kuala Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!