Banduan hukuman mati paling lama di dunia dibicarakan semula

Hideko melambai ke arah wartawan ketika menolak kerusi roda adiknya, Iwao Hakamada di luar mahkamah pada Isnin. - Foto AFP
Hideko melambai ke arah wartawan ketika menolak kerusi roda adiknya, Iwao Hakamada di luar mahkamah pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Mahkamah Tinggi Tokyo di Jepun pada Isnin memerintahkan perbicaraan semula seorang lelaki yang disabit bersalah atas kesalahan membunuh enam dekad lalu selepas pengakuannya sebelum ini menimbulkan keraguan.

Bekas peninju, Iwao Hakamada, 87, disifatkan sebagai banduan hukuman mati paling lama di dunia selepas didapati bersalah merompak dan membunuh ketuanya, isteri lelaki itu serta dua anak pasangan tersebut pada 1966.

Pada peringkat awal siasatan, Hakamada menafikan semua tuduhan terhadapnya namun akhirnya mengaku selepas dipaksa termasuk dipukul pegawai penyiasat serta bukti dalam kes itu telah dihapuskan.

Hakamada dijatuhi hukuman mati pada 1968 dan keputusan itu disahkan Mahkamah Tinggi 12 tahun kemudian.

Difahamkan, Hakamada adalah orang keenam sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua mendapat perbicaraan semula selepas hukuman mati terhadapnya disahkan.

Kakak Hakamada, Hideko, 90, sebelum ini tanpa henti berkempen untuk mendapatkan perbicaraan semula terhadap adiknya.

"Saya menunggu hari ini selama 57 tahun dan akhirnya ia telah tiba. Ini berlaku kerana bantuan anda semua," katanya di hadapan wartawan dan penyokong adiknya di luar mahkamah.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International mengalu-alukan keputusan perbicaraan semula dan menganggap ia sebagai 'peluang yang sudah lama tertunggak untuk menegakkan keadilan'.

"Sabitan Hakamada adalah berdasarkan pengakuan paksa dan terdapat keraguan serius mengenai bukti lain yang digunakan terhadapnya," kata Hideaki Nakagawa, Pengarah Amnesty International Japan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!