Mayat lelaki ditemui terapung dekat mesin sedut pasir
HULU TERENGGANU - Seorang pekerja warga asing menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung berhampiran tongkang mesin penyedut pasir di Sungai Kuala Berang dekat Kampung Gaung pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan berkata, pihak polis menerima aduan berhubung penemuan mayat terbabit jam 10.05 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi berkenaan.
"Pihak polis menerima panggilan daripada pengadu memberitahu pekerjanya yang juga warga asing menemukan mayat lelaki berhampiran tongkang mesin penyedut pasir.
"Hasil pemeriksaan awal terhadap mayat yang lengkap berpakaian itu setakat ini tidak menemukan sebarang identiti pada badan mangsa.
"Pemeriksaan luaran badan si mati juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut.
"Mayat mangsa yang telah reput itu dipercayai meninggal dunia selama beberapa hari.
"Kes ini masih dalam siasatan dan usaha untuk mengenal pasti identiti mayat sedang dijalankan," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!