Kes saman fitnah Azam Baki terhadap Lalitha bermula 9 Julai 2024
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan perbicaraan kes saman fitnah difailkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) K. Lalitha berlangsung selama empat hari bermula 9 Julai tahun depan.
Azam, 59, menyaman Lalitha, 50, pada 12 Januari tahun lepas, atas dakwaan menerbitkan artikel memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS).
Peguam Mohd Shahir Md Tahir yang mewakili Azam berkata mahkamah menetapkan 9 hingga 12 Julai 2024 untuk tarikh baharu perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
"Tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 7 Jun 2024 untuk pemfailan dokumen-dokumen praperbicaraan," kata peguam itu ketika dihubungi, selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Maslina Selamat secara dalam talian hari ini.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 8 hingga 11 Januari 2024 untuk perbicaraan kes itu.
Dalam pernyataan tuntutan, Azam selaku plaintif mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk "Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?” (Bahagian 1) dan "Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?” (Bahagian 2) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt 2021 sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun sama.
Plaintif mendakwa Lalitha selaku defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.
Dakwa Azam tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.
Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.
Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Lalitha menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 3 Februari tahun lepas mendakwa kandungan artikel dan ciapannya membabitkan Azam diperoleh daripada sumber yang sah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!