UMNO perlu berani terima perubahan

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu bersedia untuk lebih progresif bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam situasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus berani menerima perubahan drastik termasuk barisan kepimpinan tertinggi.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi pemilihan parti kali ini mencerminkan keterbukaan UMNO terhadap idea untuk menerima wanita dalam pertandingan ’Top 5’ yang sebelum ini dibarisi lelaki.

“Sekiranya UMNO melihat kepada kualiti pimpinan, isunya bukan kepada gender. Saya jadi ahli UMNO sejak 1989 dan parti tidak melebihkan lelaki. Berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU16, cara rakyat lebih memilih pemimpin politik lebih kepada individu dan UMNO mesti menerima bahawa individu yang akan mengukur kekuatan satu parti, bukan kepada jantina.

“Semasa saya Ketua Puteri, saya juga tidak setuju kalau Puteri hanya diberi tugas sebagai pasukan sorak sahaja. Puteri mesti membawa suara wanita Melayu muda dan Wanita UMNO menyumbang kepada isu wanita Melayu dalam negara.

“UMNO perlu bersedia kerana tuntutan pengundi dan ahli, kini mungkin sudah berbeza dengan pendekatan terdahulu,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sebelum itu media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu sah menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan.

Penyertaan itu menyaksikan beliau adalah satu-satunya calon wanita yang mencabar jawatan nombor tiga parti itu setakat ini.

Dalam pada itu, Azalina berkata, penyertaannya dalam merebut jawatan berkenaan pada pemilihan UMNO kali ini sebagai titik tolak kepada ahli dalam Wanita dan Puteri untuk berani bertanding ke jawatan yang lebih tinggi.

“Kemasukan (pencalonan) saya memberi mesej kepada wanita untuk lebih kepada ‘mainstream’ politik. Mereka boleh dan mampu sebenarnya.

“Endgame mereka sebagai wanita Melayu dalam politik UMNO bukan hanya melalui pintu Wanita atau Puteri sahaja, malah boleh main peranan yang lebih tinggi dalam parti,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!