Kedah perlu jalin kerjasama erat dengan pusat - Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri disarankan untuk memberi tumpuan membangunkan hanya satu atau dua projek mega bagi membolehkan projek yang dirancang menjadi kenyataan.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) berkata, antara syarat penting dalam memastikan projek mega dapat dilaksanakan dengan lancar adalah dengan menjalin kerjasama erat bersama kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, biarpun berbekalkan keazaman politik yang tinggi untuk membangunkan negeri, namun tanpa hubungan baik antara negeri dan Persekutuan, ia agak sukar dilaksanakan.

“Kenal pasti hanya satu atau dua projek paling penting dan bermanfaat, berikan sepenuh tumpuan untuk keberhasilan dan jayakan projek tersebut sehingga berjaya. Antara yang perlu dipertahankan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP),” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Mukhriz yang juga Presiden Pejuang berkata, berdasarkan pengalaman ketika menerajui Kedah, beliau turut berdepan pelbagai cabaran dan kekangan dalam menjayakan projek mega.

“Saya umum enam projek ikonik dalam Bajet 2015 dengan harapan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Namun ia tidak mudah dilaksanakan biarpun memiliki azam politik yang kuat. Ini kerana ada aspek di luar kawalan kerajaan negeri seperti bawah bidang kuasa persekutuan, apabila sesuatu projek tidak diberikan keutamaan oleh pusat, sukar untuk kita laksana,” katanya.

Menurut bekas Menteri Besar Kedah itu, setelah lebih lapan tahun projek ikonik tersebut dimulakan dan kini diteruskan oleh kerajaan baharu, hanya Kedah Rubber City menunjukkan peningkatan pembangunannya.

“Daripada enam, hanya satu projek ada kemajuan, yang lain sangkut. Ini bermakna kita harus jalin kerjasama lebih erat dengan pusat sekiranya mahu jayakan projek besar, tak cukup dengan azam tinggi,” ujarnya.

Selain KXP dan Kedah Rubber City, empat lagi projek yang diumumkan Mukhriz ialah Taman Teknologi dan Sains Kedah (KSTP), Bandar Raya Aero Kedah (Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE) dan Bandar Raya Sains Perubatan Kedah.

Mukhriz turut membangkitkan isu peruntukan yang didakwa tidak seimbang antara negeri lebih maju dan miskin.

“Hubungan antara kerajaan pusat dan negeri seolah berat sebelah dan lebih memihak kepada pusat, bukan kebelakangan ini sahaja, sudah lama berlarutan.

“Contohnya, cukai yang dikutip kerajaan persekutuan adalah daripada negeri. Setiap tahun pula, negeri-negeri terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk dapatkan geran kerajaan pusat, kadang-kadang seperti mengemis minta peruntukan secukupnya,” ujarnya.

Menurutnya, perbincangan dua hala perlu diadakan dengan meminda formula sedia ada agar lebih adil terhadap negeri yang agak ketinggalan.

“Pada 1996, kerajaan persekutuan setuju Kedah terima pelaburan RM600 juta bangunkan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebagai pinjaman, dianggarkan lebih RM31 bilion dilaburkan oleh syarikat asing dan tempatan dengan lebih 26,000 pekerjaan ditawarkan.

“Sumbangan KHTP dalam pertumbuhan ekonomi wilayah utara sangat besar, namun kutipan cukai diperoleh kerajaan persekutuan daripada KHTP jauh lebih tinggi. Kenapa tidak salurkan peruntukan lebih kepada negeri agak tercorot seperti Kedah yang berpotensi membangun dan jana pendapatan, kerana akhirnya cukai akan dikutip oleh pusat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!