Calon menang Pemilihan UMNO perlu bersama parti, kekal relevan

Ahmad Zahid menyanyikan lagu UMNO ketika hadir pada sesi Pengenalan calon-calon UMNO yang bertanding pada pemilihan UMNO 2023-2026. -Foto Bernama
Ahmad Zahid menyanyikan lagu UMNO ketika hadir pada sesi Pengenalan calon-calon UMNO yang bertanding pada pemilihan UMNO 2023-2026. -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua calon yang menang dalam Pemilihan UMNO pada kali ini untuk bersama-sama dengan kepimpinan parti itu supaya UMNO kekal relevan.

Malah jelasnya, ia termasuklah menghormati segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan biarpun ada perbezaan pendapat.

"Ahli parti juga seharusnya menjaga perkara yang menjadi kerahsiaan parti terutama segala inti pati yang dibincangkan dalam mesyuarat parti itu.

"Setiap Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik hadir melafazkan sumpah untuk simpan rahsia, ia bukan pada parti semata-mata tapi diri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika menghadiri Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli MT sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, siapa pun Naib Presiden yang akan menang dalam pemilihan ini bersama-samalah dengan presiden dan timbalan presiden, jangan ada kumpulan dalam kumpulan, jangan ada parti dalam parti.

“Begitu juga dengan rakan-rakan dalam MT, saya mengamalkan dasar untuk meraikan perbezaan pendapat dan hormati keputusan meskipun secara luaran tak bersetuju dengan saya, tetapi saya utamakan parti bukan ambil jalan untuk balas dendam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua ahli yang memenangi pemilihan parti untuk bekerjasama dan tidak berkonspirasi bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Jangan bersekutu dengan pihak gunting dalam lipatan, api dalam sekam.Saya tahu ada perancangan di belakang yang mahu menggugat kepimpinan yang ada. Pilihlah untuk bersama saya dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kukuhkan parti.

''Pertandingan ini (Pemilihan UMNO) sedarah sedaging, semua bertanding ini untuk memperkukuhkan parti, saya dan Tok Mat terima siapa sahaja yang menang, itulah pemimpin UMNO yang akan bersama-sama saya dan parti," katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih oleh perwakilan kerana hasratnya adalah untuk memperkukuh UMNO.

“Saya tidak beremosi dan ini datang dari lubuk hati saya.Bagi saya, apa yang paling penting ialah kesetiaan parti," katanya sambil menambah tiada tempat untuk agenda peribadi dalam UMNO.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!