Kemarau kemenangan Kelantan United berterusan
Hasrat Kelantan United untuk mengakhiri kemarau kemenangan saingan Liga Super musim ini masih belum kesampaian apabila dijinakkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-3 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Biarpun anak buah Tomáš Trucha terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan David Silva pada minit ke-21, namun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila KDA kendalian Nafuzi Zain meledak dua selepas itu.
Jaringan Willian Lira minit ke-34 diikuti penalti Manuel Hidalgo (m-45) membolehkan Sang Kenari memimpin perlawanan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, The Green Deers yang sebelum itu berada di tangga tercorot liga dengan satu mata selepas mengharungi tiga perlawanan kembali memperkemaskan permainan.
Bagaimanapun, KDA yang turun tanpa kapten Manuel Ott akibat digantung perlawanan termasuk dipalit kekalahan aksi liga 0-1 kepada PDRM FC sebelum ditunjukan jalan keluar Penang FC dari pusingan pertama Piala FA ternyata lebih garang.
Hasilnya Al-Hafiz Harun melebarkan jaringan buat pelawat menerusi gol pada minit ke-79 sebelum anak buah Trucha mengurangkan defisit menerusi penalti Yan Victor pada minit ke-88.
Tiga mata diraih KDA di Kota Bharu menyaksikan Hijau Kuning kini menduduki tangga keempat liga dengan sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!