Titah Sultan Selangor, elak hasutan, propaganda politik

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebelum ini, tular isu melibatkan pembatalan ceramah pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di negeri itu.

Kemudian pada 5 Februari, pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub pula memaklumkan bahawa dua ceramah beliau di Selangor pada 10 dan 11 Mac di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor turut dibatalkan.

Isu-isu itu mendapat perhatian ramai malah ada yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang membatalkan ceramah agama, namun membenarkan untuk konsert-konsert hiburan diadakan untuk orang ramai.

Ketika isu-isu sebegini menjadi topik perbualan ramai, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menegaskan pada 10 Mac bahawa keperluan tauliah mengajar agama bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengejar agama, sebaliknya langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Pentauliahan untuk penceramah agama amat penting bagi memastikan seseorang itu tidak mengambil kesempatan menjadikan platform ceramah itu sebagai medan hasutan agenda jahat ataupun propaganda politik.

Orang ramai perlu tahu kepentingan masjid sebagai rumah ibadah tidak seharusnya dicemari dengan budaya fitnah, hasutan dan kempen-kempen politik.

Lebih-lebih lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal menjadi penentu hala tuju parti politik itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Pada 13 Mac, baginda sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.

Titah baginda, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarah memastikan masjid dan surau bebas daripada unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Menurut baginda, masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca perbalahan dan sengketa yang akan membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tidak berkesudahan.

Titah baginda itu juga disambut baik oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Muhamad Faisal berkata, semua negeri di negara ini wajar menguatkuasakan arahan untuk tidak membenarkan golongan politik daripada sewenang-wenangnya menjadikan masjid dan surau sebagai medan penyebaran politik.

Justeru, pendidikan mengenai kepentingan pentauliahan penceramah itu perlu diterapkan pada orang ramai supaya mereka faham bahawa kesucian rumah ibadah dan masjid perlu dipelihara.

Ahli-ahli politik tidak boleh menunggang agama dan menjadikan masjid sebagai tempat untuk menyebarkan ideologi politik kepada orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!