Siasatan, pendakwaan penting perangi rasuah - ABIM
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa supaya penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan yang lebih tegas dilakukan bagi mengelak wujudnya budaya rasuah dalam kalangan bekas penjawat awam mahupun yang masih bekerja dalam sektor berkenaan.
Naib Presidennya, Zairudin Hashim menegaskan, amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam perlu dihentikan dengan segera.
Katanya, ABIM mengharapkan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan, seterusnya pendakwaan secara lebih terperinci dan tegas supaya dapat mengelakkan lebih ramai yang terlibat dengan gejala rasuah.
“Saya juga berharap pemberian duit kopi dalam kalangan pekerja bawahan perlu dihentikan kerana boleh mendorong kepada masalah yang lebih serius,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang bekas pengarah agensi kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengambil rasuah bagi meluluskan tender penyelenggaraan dan pembekalan bernilai RM31,629.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Zairudin berkata, tindakan individu yang mengambil rasuah secara tidak langsung menyebabkan keseluruhan agensi kerajaan menerima tempiasnya.
Menurutnya, melakukan perkara terkutuk itu mengakibatkan masyarakat kurang mempercayai penjawat awam dalam menyempurnakan amanah.
“Masih ramai lagi penjawat awam yang ikhlas menjalankan tugas tetapi kerana sekelompok mereka yang ‘gila’ harta dengan cara yang salah, ia menyebabkan imej sesebuah agensi kerajaan dipandang serong oleh masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zairudin mengakui, tidak mudah untuk menghapuskan gejala rasuah secara total di negara ini.
Beliau berkata, pekerja bawahan perlu ada keberanian untuk menegur pegawai atasan yang mengambil rasuah.
“Saya ingin memetik kata-kata bekas Presiden ABIM, Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil, yang mana beliau ada menekan tentang keberanian untuk menegur perkara atau perbuatan yang salah di hadapan pemimpin-pemimpin yang zalim dan korup.
“Dalam hal mahu melawan rasuah, mendiamkan diri jauh lebih besar salahnya jika kita hanya melihat ia berlaku dengan sewenang-wenangnya,” kata beliau.
Zaurudin menambah, kesedaran perlu dilakukan secara berterusan secara bersama-sama dengan agensi seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, badan masyarakat Madani, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.
“Agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan tersebut perlu bekerjasama supaya kita dapat membina masyarakat yang faham dan tidak takut untuk melawan rasuah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!