[VIDEO] OKU cekap main takraw, miliki kedai gunting rambut

Muhammad Fikri menggunakan meja untuk memudahkan kerja menggunting rambut pelanggan.
Muhammad Fikri menggunakan meja untuk memudahkan kerja menggunting rambut pelanggan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal dari Kampung Banggol Stol, Selising di sini dikenali ramai kerana kecekapannya bermain takraw dan menggunting rambut.

Muhammad Fikri Che Mood, 26, yang dilahirkan dengan kecacatan kaki tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai alasan untuk mencuba apa yang boleh dilakukan oleh manusia normal lain.

"Orang lain main takraw pakai kaki, tapi saya guna tangan. Sama juga dengan menggunting rambut, ramai yang kurang yakin kerana bentuk fizikal saya.

"Saya menggunakan kerusi tinggi dan meja untuk memudahkan kerja menggunting rambut pelanggan, walaupun nampak kekok tapi ia tidak menjadi masalah," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kemahiran tersebut dipelajarinya sejak berusia 11 tahun dan ketika itu hanya melihat arwah bapanya, Che Mood Zakaria menggunting rambut adik-beradik yang lain.

Ujar anak bongsu daripada enam beradik, sejak dari itu dia mengambil upah menggunting rambut di hadapan rumahnya dengan bayaran sekitar RM3 hingga RM6 setiap pelanggan.

Muhammad Fikri (kiri) meluangkan masa berlatih takraw dengan abangnya di hadapan rumah sebelum menyertai pertandingan.
Muhammad Fikri (kiri) meluangkan masa berlatih takraw dengan abangnya di hadapan rumah sebelum menyertai pertandingan.

Muhammad Fikri memberitahu, selepas lebih 10 tahun mencari rezeki dengan cara berkenaan, dia kini mampu memiliki sebuah kedai gunting berhampiran rumahnya.

"Kedai tersebut hasil sumbangan pemimpin setempat serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Alhamdulillah kini saya dapat bekerja dengan selesa dan pelanggan semakin bertambah," ujarnya.

Muhammad Fikri dari Kampung Banggol Stol, Selising, Pasir Puteh dikenali ramai kerana kecekapannya bermain takraw dan menggunting rambut.
Muhammad Fikri dari Kampung Banggol Stol, Selising, Pasir Puteh dikenali ramai kerana kecekapannya bermain takraw dan menggunting rambut.

Dia berkata, walaupun dilahirkan serba kekurangan namun ia langsung tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

Kata anak muda ini, di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan yang penting sentiasa berusaha dan rajin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!