'Keruntuhan SVB tidak beri kesan langsung kepada Malaysia'

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan keruntuhan bank Amerika Syarikat (AS), Silicon Valley Bank (SVB) boleh memberikan sedikit impak pada skala yang kecil kepada Malaysia sekiranya perkembangan itu menjejaskan pasaran modal dan perbankan negara berkenaan.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, negara mungkin tidak mengalami kesan secara langsung akibat kejatuhan SVB memandangkan tiada syarikat tempatan yang mempunyai simpanan di bank tersebut.

“Kesan terus mungkin tidak, tiada syarikat Malaysia yang ada duit di SVB. Rata-rata hanya syarikat pemula besar di Silicon Valley yang mempunyai akaun di SVB.

“Tetapi jika kejatuhan itu mengheret perbankan AS dan pasaran modal buat sementara waktu, ia mungkin memberi sedikit hambatan kepada kita walaupun pada skala yang lebih kecil,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Isnin.

Beliau membalas ciapan tersebut susulan bagi menjawab pertanyaan berhubung isu gelombang keruntuhan bank ke-16 terbesar di AS itu yang didakwa boleh melanda pasaran kewangan di negara ini.

SVB adalah bank runcit terbesar yang mengalami kegagalan sejak krisis kewangan 2008.

Masalah di bank itu meningkat selepas kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang berlanjutan selama setahun bermakna sekuriti yang dimilikinya dijual pada harga yang jauh lebih rendah, masalah yang mungkin akan dihadapi oleh bank-bank lain.

Keruntuhan SVB, yang memberikan pengkhususan kepada pembiayaan modal teroka terutamanya dalam sektor teknologi, berlaku selepas pendeposit mengeluarkan sejumlah besar simpanan sehingga menyebabkan ia tidak boleh beroperasi sendiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!