Jiwa seni lukis seorang pensyarah seni bina
Dari usia 11 tahun lagi Azrin Abu Seman atau lebih mesra dikenali sebagai Aren, mula didedahkan dengan dunia seni catan atau lukisan. Ayah beliau, Abu Seman yang merupakan seorang pegawai perikanan yang gemar melukis pelbagai subjek dalam karya lukisannya. Bak kata orang, mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, begitulah Aren dan ayahnya.
“Ayah saya gemar melukis pemandangan, flora dan fauna. Beliau sangat menggalakkan kami empat beradik untuk menerokai hobi melukis. Namun akhirnya, hanya saya seorang sahaja yang mewarisi bakat beliau dan serius dengan minat tersebut.
“Sebenarnya sejak dari sekolah rendah lagi saya mempunyai minat terhadap apa sahaja aktiviti melibatkan seni seperti lakonan, tarian, nyanyian, kesusasteraan dan pastinya melukis. Minat melukislah yang paling dekat dengan jiwa saya.
“Karya pertama yang saya lukis ialah tumbuh-tumbuhan. Melihat hasilnya, saya tidak berpaling lagi untuk serius melukis. Medium lukisan saya tidak sahaja terhad kepada kertas lukisan, namun pokok-pokok tanaman ibu saya yang mempunyai saiz daun yang besar menjadi tempat saya berkarya sehinggakan ibu saya memarahi saya,” jelas Aren yang kerap kali menjadi dinding rumahnya sebagai tempat berkarya.
“Saya menyambung pengajian peringkat Sijil Seni Bina di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Alor Star, Kedah selama dua tahun. Selepas tamat pengajian, saya bekerja hampir setahun,
namun saya masih menyimpan keinginan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina.
“Alhamdulillah permohonan saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Seri Iskandar, Perak diterima. Selama hampir empat tahun belajar di sana, saya didedahkan dengan pelbagai subjek seperti Asas Seni Bina, Lukisan Teknikal dan Sejarah Seni Bina.
“Selepas berjaya menggenggam Diploma Seni Bina, saya mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Seni Bina Perancangan Perumahan dan Bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang,” terang Aren lagi.
Bergelar pensyarah seni bina
Aren yang kini merupakan seorang pensyarah seni bina di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) masih lagi meneruskan minat beliau melukis khususnya menghasilkan lukisan abstrak.
“Namun dengan melukis lukisan abstrak khususnya, saya lebih bebas berkarya dan memilih warna, medium dan saiz kanvas. Biasanya saya berkarya apabila mempunyai masa terluang khususnya hujung minggu. Kini saya telah berjaya menjual hampir 20 unit lukisan di atas kanvas dalam pelbagai saiz.
“Pada peringkat awalnya, Aren menganggap melukis adalah sekadar untuk mengisi masa lapang, namun apabila beliau berkongsi setiap karya lukisan di media sosial peribadi, ramai kenalan menyatakan minat untuk membelinya,” terang Aren yang menjual lukisannya dengan harga bermula daripada RM1,500, bergantung kepada saiz, medium dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesebuah lukisan tersebut.
Pencapaian
Aren tidak sahaja memberi fokus dalam kerjaya beliau sebagai pensyarah namun beliau masih lagi berkesempatan menyertai pelbagai pertandingan melibatkan seni bina dan lukisan. Antara pencapaian beliau ialah, pemenang tempat kedua Pertandingan Menghias Balkoni, KL Park Festival yang bertemakan “Pop Art & Botanical Garden, 2023” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Beliua juga yang merupakan antara pelukis amatur yang pernah menyertai Pameran Seni PANDORA anjuran Art Market Malaysia 2022.
Perancangan masa depan
Aren menyimpan impian untuk membuka sebuah akademi seni yang mempunyai komponen studio, bilik pameran, bilik mengajar dan lokasi penganjuran pelbagai acara seni. Ia penting direalisasikan agar kemahiran dan pengalaman beliau dalam bidang seni bina dan seni lukis dapat dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada pelbagai pihak dan individu yang meminati bidang seni.
Selain itu, Aren juga mahu mencipta nama sebagai pelukis abstrak yang berwibawa dan mampu menembusi industri seni kontemporari di luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!