9 kematian akibat malaria zoonotik
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sembilan daripada 11 kes kematian malaria bagi tahun lalu adalah melibatkan malaria zoonotik.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, malaria zoonotik boleh mengakibatkan jangkitan malaria teruk serta berpotensi menyebabkan kematian sekiranya lewat didiagnos.
Menurutnya, daripada jumlah kes malaria yang dilaporkan pada tahun 2022, sebanyak 89.2 peratus adalah kes malaria zoonotik dan selebihnya adalah kes malaria import.
"Jumlah kumulatif kes malaria yang dilaporkan sehingga minggu epidemilogi ke-10 (ME10) adalah 527 kes.
"Jumlah ini meningkat sebanyak 30.4 peratus iaitu 123 kes berbanding tahun lalu bagi tempoh sama, 404 kes," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan penyakit berjangkit tropika di sini pada Selasa.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 460 kes adalah malaria zoonotik dan bakinya, 67 kes merupakan malaria manusia.
"Kita telah mempergiatkan kawalan vektor di lokasi yang dikenal pasti dengan melakukan semburan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk," katanya.
Malaria zoonotik disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi dan penularannya kerap berlaku di luar rumah.
Ia ditularkan dari beruk atau kera yang merupakan perumah semula jadi bagi parasit kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!