Kamal Adli dipukul: Uqasha Senrose ambil pengajaran
PELAKON Uqasha Senrose menjelaskan bahawa nasib malang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, namun dia mengingatkan dirinya dan orang ramai agar sentiasa berhati-hati.
Uqasha berkata, dia mengambil pengajaran susulan insiden yang terjadi kepada suaminya, Kamal Adli baru-baru ini.
“Kes ini tiada kena mengena dengan rakyat Singapura, jangan salahkan seorang manusia tapi satu negara kena, jangan begitu. Malang itu tidak berbau, ia boleh jadi dekat mana-mana.
“Apa yang terjadi pada saya dan Kamal merupakan satu pengajaran untuk semua untuk lebih berhati-hati. Kita tak tahu siapa suka dan benci kita,” katanya menerusi satu sesi siaran langsung di Instagram pada Isnin.
Dalam pada itu, aktres tersebut sekali lagi menegaskan kepada orang ramai agar tidak membabitkan individu yang memukul Kamal dengan rakyat Singapura mahupun Malaysia.
“Saya harap jangan ada orang Malaysia atau Singapura yang bergaduh sesama kita.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga, bukan orang Singapura yang jahat tetapi sikap manusia itu sendiri. Jangan bermusuh antara kita.
“Sama-sama nak cari rezeki, orang Malaysia datang Singapura untuk cari rezeki dan orang Singapura datang Malaysia untuk cari rezeki,” tambahnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Akira Khan itu sempat meluahkan rasa syukur apabila individu tersebut tersalah menyasarkan pada bahagian kepala Kamal.
“Syukur Alhamdulillah, dia salah aim (sasar) dekat belakang Kamal. Kalau bawah sikit dia serang, Kamal dah tak ada.
“Polis minta saya dan family untuk tidak dedahkan di mana kami sekarang. Biar polis buat siasatan terlebih dahulu. Sebab kejadian ini telah jadi kes polis dan akan masuk mahkamah,” tambahnya.
Terdahulu, Uqasha memuat naik video pendek di Instagram yang memaparkan dirinya sedang menangis di hospital dan memaklumkan suaminya telah diserang oleh seorang individu lelaki tidak kenali sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.
Menurut Uqasha, ketika kejadian mereka sedang melayani peminat di sebuah ekspo yang berlangsung di Singapura sebelum ada seorang lelaki yang mencari suaminya.
Bagaimanapun, dia menyangka lelaki tersebut merupakan peminat Kamal yang ingin mengajak bergambar bersama. Namun, secara tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan cota besi daripada poketnya sebelum bertindak memukul Kamal.
Difahamkan, keadaan Kamal ketika ini sudah sedar selepas menjalani pembedahan. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:Suspek serang Kamal Adli akan dituduh esok
ARTIKEL BERKAITAN:Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura
ARTIKEL BERKAITAN:Kamal Adli selamat jalani pembedahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!