MUIP peruntuk RM5 juta selenggara masjid, surau di Pahang
KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM5 juta bagi penyelenggaraan masjid dan surau di Pahang pada tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, peruntukan itu akan disalur kepada 67 dan 90 surau di Pahang berdasarkan kepada permohonan daripada mereka.
"Pada tahun ini, penyaluran peruntukan lebih kepada bersifat dharuriyyah (wajib) sahaja, antaranya kebocoran yang dialami masjid atau surau dan keperluan pembesar suara serta penyelenggaraannya.
"Peruntukan itu kita agihkan berdasarkan permohonan dan berdasarkan siasatan (penilaian) yang dibuat pihak MUIP," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum itu, Asmadi berkata, pada tahun lalu sebanyak RM8.5 juta dibelanjakan bagi penyelenggaraan masjid dan surau di negeri ini.
Jelasnya, perbelanjaan itu digunakan untuk pelbagai kerja penyelenggaraan, antaranya bagi menggantikan permaidani, mengecat, menambah kemudahan asas dan membaiki kerosakan.
"Hampir setiap tahun permohonan bantuan bagi penyelenggaraan surau dan masjid di negeri ini bertambah dengan kelulusan dibuat selepas pegawai MUIP cawangan daerah melakukan lawatan.
"Kerja penyelenggaraan turut dilakukan membabitkan surau dan masjid di perkampungan orang asli kerana kita tidak pernah ketinggalan dalam memberi keselesaan kepada jemaah orang asli menunaikan ibadah dan belajar agama," jelasnya.
Asmadi memaklumkan MUIP ingin memastikan semua surau dan masjid di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan selesa dan menarik.
"Justeru, pihak pengurusan perlu lebih aktif dan merebut peluang disediakan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!