Ameyza cekal jadi pengawal peribadi jaga majikan lelaki
KUALA LUMPUR - Jika dilihat dari raut wajah pemilik susuk tubuh bernama Ameyza Yaacob, 35, pasti ramai menyangka wanita ini seorang peragawati.
Namun hakikatnya, beliau sebenarnya menceburi bidang kerjaya yang jarang diminati malah mungkin dianggap kurang sesuai untuk kaum hawa iaitu sebagai pengawal peribadi persendirian.
Bukan sahaja kerana kerjaya berkenaan dianggap lasak serta memerlukan kekuatan mental serta fizikal tetapi individu yang ditugaskan untuk Ameyza adalah seorang usahawan lelaki bergelar datuk, justeru mempunyai pelbagai cabaran yang tersendiri.
Tinggal kerjaya polis
Menyingkap kehidupan wanita yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan dan tinggal di Kuala Lumpur sejak tahun 2005, Ameyza sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lima tahun.
"Saya menyertai PDRM pada tahun 2014 ketika berusia 26 tahun. Selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, saya ditugaskan ke Saratok, Sarawak selama setahun.
"Semasa di sana, saya bertugas di Balai Polis Saratok sebagai GD (General Duty) yang melakukan tugas am seperti ambil laporan dan sebagainya. Selepas itu saya memohon untuk masuk ke Unit Tindakan Khas (UTK) dan bertukar ke Semenanjung Malaysia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Setelah lima tahun berkhidmat dengan PDRM, Ameyza mengambil keputusan untuk berhenti daripada pasukan itu kerana mendapat tawaran sebagai pengawal peribadi kepada seorang ahli perniagaan dengan tawaran gaji yang agak lumayan.
Biarpun berhadapan dengan dilema kerana masih sayangkan dunia kepolisan, Ameyza berkata, beliau yakin dengan keputusan yang dibuat dan berpegang kepada prinsip ‘walau di mana seseorang itu berada, jika mengekalkan sifat rajin berusaha pasti kejayaan akan menanti’.
"Sebelum saya membuat keputusan untuk keluar daripada PDRM, saya ambil masa setahun untuk berfikir adakah saya patut berhenti atau sebaliknya? Saya turut meminta pendapat daripada senior saya, keluarga, dan rakan-rakan. Ada yang membantah, tidak kurang juga yang menyokong. Akhirnya saya mengambil keputusan besar untuk menjadi pengawal peribadi persendirian.
"Pada mulanya keluarga saya tidak bersetuju untuk saya berhenti daripada PDRM tetapi setelah saya memberi sebab dan tujuan kenapa saya berhenti akhirnya mereka merestui pilihan saya," kata anak kelima daripada enam beradik itu. Dua abang Ameyza adalah anggota polis manakala kakaknya seorang anggota polis bantuan.
Berkongsi lanjut pengalaman ketika berkhidmat dengan PDRM, Ameyza berkata, jawatan terakhir beliau adalah sebagai pengawal pengiring berpangkat Lans Koperal dan pernah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sepanjang tempoh setahun menjaga wanita pertama yang menggalas tanggungjawab sebagai TPM ketika itu, Ameyza yang aktif berkongsi tips kecergasan di akaun TikTok menyifatkan Dr Wan Azizah seorang insan yang sangat mudah untuk berkomunikasi.
"Tidak susah menjaga beliau, selain sangat baik, Dr Wan Azizah juga seorang yang berjiwa rakyat. Beliau juga sangat menjaga kebajikan kami," katanya menzahirkan kesyukuran kerana sepanjang menggalas tugas itu, beliau tidak pernah mengalami sebarang insiden yang tidak diingini.
Nyawa majikan mengatasi diri
Bergelar pengawal peribadi persendirian apatah lagi beliau adalah seorang wanita mungkin nampak asing bagi sesetengah orang namun ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.
Ameyza yang masih bujang berkata, sebagai pengawal peribadi tidak kira sama ada kepada majikan wanita ataupun lelaki, seseorang itu perlu sihat tubuh badan, mempunyai kemahiran bersenjata dan seni mempertahankan diri.
"Ini sebagai perisai sekiranya berlaku apa-apa ancaman, sebagai pengawal peribadi kita mesti mampu untuk menyelamatkan majikan yang dijaga. Boleh dikatakan apabila individu itu melibatkan diri dalam bidang ini, nyawa majikan atau nyawa individu yang dijaga itu sangat penting dan perlu diutamakan melebihi nyawa sendiri," katanya yang mula bertugas sebagai pengawal peribadi kepada seorang ahli perniagaan lelaki pada penghujung tahun 2019.
Berhubung perbezaan serta skop tugas dalam menjaga majikan wanita dan lelaki, Ameyza berkata, jika majikan lelaki, seorang pengawal peribadi perempuan tidak boleh terlalu rapat kerana ada batas-batas yang perlu dijaga.
"Tetapi kalau ada situasi yang mendesak, kita perlu ambil tindakan yang sepatutnya," jelasnya.
Beliau menambah, tugas sebagai pengawal peribadi juga menuntut masa yang bukan sedikit malah ada ketikanya perlu bekerja selama 24 jam.
"Sebagai pengawal peribadi menjaga keselamatan orang kenamaan atau VIP tidak kira ke mana sahaja mereka pergi, pengawal peribadi itu perlu ikut. Walaupun bercuti dalam Malaysia ataupun di luar negara, kita ibarat bayang-bayang kerana akan sentiasa mengikut ke mana sahaja mereka pergi.
"Bermula daripada majikan kita keluar rumah sehinggalah dia balik ke rumah semula, barulah tugas pengawal peribadi itu berakhir. Pengawal peribadi juga haruslah bersedia pada bila-bila masa apabila dipanggil untuk bekerja," katanya menambah, beliau tidak pernah menyesal memilih bidang itu dan berasa puas apabila hasil titik peluhnya mampu menyediakan rumah dan membiayai pakej umrah untuk kedua ibu bapanya.
Impian buka agensi pengawal peribadi
Berhasrat terus melangkah lebih jauh dalam arena yang diceburi, Ameyza memasang impian untuk membuka sebuah agensi yang menyediakan khidmat pengawal peribadi suatu hari nanti.
Ini kerana beliau melihat ramai wanita di luar sana yang berminat untuk menceburi bidang kerjaya itu tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana.
"Sebenarnya kerjaya ini dapat memberikan keyakinan diri kepada wanita. Dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan berdiri sama tinggi dengan lelaki. Jadi saya rasa tidak salah untuk saya berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini kepada mereka di luar sana yang berminat dengan pekerjaan ini," katanya.
Menurut Ameyza, bidang pengawal peribadi wanita mempunyai permintaan yang tinggi namun disebabkan kurangnya pendedahan membuatkan ramai tidak tahu bahawa kerjaya ini juga boleh dimonopoli oleh kaum hawa.
"Mungkin selepas ini pekerjaan ini akan menjadi antara pilihan wanita di Malaysia. Fokus saya juga ingin membantu golongan wanita menjadi seorang yang bekerjaya," katanya.
Ameyza pada masa sama turut menambah, faktor masa serta risiko yang tinggi menjadi antara punca sektor ini tidak disertai oleh wanita.
"Untuk golongan wanita yang ingin menceburi kerjaya pengawal peribadi, nasihat saya bersiap sedia untuk mengorbankan masa dengan keluarga. Tidak ramai yang sanggup kerana kerjaya seorang pengawal peribadi masa untuk bersama keluarga adalah terhad.
"Untuk yang belum berkahwin mungkin tiada masalah tetapi pada yang sudah berkahwin mungkin akan jadi satu masalah jika pasangan tidak memahami waktu dan tugas kita. Mental dan fizikal juga harus kuat kerana kita tidak tahu apa cabaran atau tugas yang akan dihadapi nanti," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!