[VIDEO] 'Jangan tuduh saya'
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk mencampuri urusan perundangan terhadap mana-mana individu yang didakwa di mahkamah.
Ahli Parlimen Tambun itu mengingatkan, sebarang hukuman yang dikenakan terhadap pesalah adalah berdasarkan undang-undang dan bukan atas arahan beliau.
"Kita bercakap soal keadilan, tolak kezaliman dan fitnah. Jangan hukum orang tanpa bukti. Maka kalau ada tindakan, jangan hukum saya.
"Jangan guna ayat al-Quran untuk hukum saya, (tuduh) zalim dan campur tangan. Kena ingat sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab, adakah saudara yakin ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa. Kalau tidak, zalim jawabnya.
"Guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya, saya tidak campur (tangan), boleh tanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Peguam Negara. Malah arahan kepada mereka, apapun tindakan (harus) berdasarkan fakta dan bukti kuat, (maka) saya sokong," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai komitmen kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap proses tatakelola yang tidak telus sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti kes melibatkan kapal tempur persisisr (LCS).
Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pendakwaan peringkat awal kes LCS tidak mencukupi ekoran ia skandal besar dan jelas wujud berlaku ketirisan.
Oleh yang demikian beliau telah menyatakan perkara berkenaan kepada SPRM dan dipersetujui untuk diadakan pendakwaan peringkat kedua.
"Namun itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih.
"Saya tegaskan siasatan LCS ini mesti diteruskan dan tindakan sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan yang terbabit. Biar siasatan diteruskan," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!