Inspektor antara ditahan disyaki peras ugut scammer RM150,000
SHAH ALAM - Lima anggota polis dan seorang pegawai berpangkat inspektor ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes peras ugut RM150,000 terhadap sindiket penipuan warga China di Serdang, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka yang berusia 33 hingga 44 tahun itu ditahan pada jam 9.15 malam.
"Mereka terdiri daripada seorang inspektor, sarjan dan konstabel selain selebihnya adalah koperal. Penahanan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki tempatan berhubung kes pemerasan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Selasa.
Hussein berkata, nilai kerugian peras ugut adalah berjumlah RM150,000 menerusi beberapa transaksi seperti didakwa pengadu.
“Mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman sebanyak dua kali sebelum ini. Kertas siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.
Hussein berkata, beliau tidak akan sesekali melindungi mana-mana pegawai dan anggotanya yang didapati terbabit dalam sebarang bentuk kesalahan jenayah.
"Kita tidak akan sama sekali berkompromi terhadap mereka yang melakukan kesalahan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pihaknya juga sedang melakukan siasatan lanjut terhadap pengadu dan kumpulan warga China yang berkemungkinan terlibat dalam aktiviti penipuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!