STR fasa 2 diagih sebelum Aidilfitri

Anwar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 diagihkan awal April iaitu sebelum sambutan Aidilfitri.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau sudah meminta Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan untuk menyegerakan agihan tersebut bagi memastikan golongan yang memerlukan dapat menerima bantuan itu dengan cepat.

"Seperti yang disebutkan, STR fasa 1 sudah diedarkan dan sampai kepada rakyat yang berjumlah RM1.6 bilion, itu pada bulan Januari lalu.

"Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya meringankan mereka (golongan memerlukan) dengan bantuan STR fasa 2 yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April sebelum raya (Aidilfitri).

"Kita akan keluarkan fasa dua ini untuk golongan B40 mendapat STR," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta Perdana Menteri menyatakan penambahbaikan kepada STR berbanding bantuan diberikan sebelum ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan sekali lagi menegaskan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan diperkenalkan sehingga gaji atau pendapatan rakyat negara ini meningkat berbanding sekarang.

“Saya telah katakan sejak jadi Ketua Pembangkang, dari segi efisien dan ketelusan adalah GST, tetapi kita belum bersedia sebab tahap pendapatan rakyat masih rendah.

“Jadi saya tidak fikir dalam enam bulan atau satu tahun kita boleh pertimbangkan. Pendapatan rakyat mesti naik dahulu.

“Semua negara yang mengamalkan GST termasuk Singapura, Kanada atau New Zealand dikira pendapatan minima agak munasabah untuk hidup. Sekarang masih ramai (jumlah) 130,000 miskin tegar, B40 (pendapatan rendah) ramai, jadi tidak boleh dipertimbangkan pada waktu sekarang,” katanya.

Beliau menjawab soalah tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) mengenai pengenalan GST bagi meningkatkan pendapatan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!