Hannah Yeoh nafi dakwaan, buat laporan polis terhadap Badrul Hisham

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menafikan dakwaan pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan 'Kristian Evengelist'.

Hannah berkata, setiausaha politiknya telah membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham pada Isnin.

"Setiausaha politik saya telah membuat satu laporan polis terhadap Che'GuBard yang telah memfitnah saya dan viralkan fitnah tersebut dalam media sosial dan Whatsapp.

"Bagaimanapun, Agensi Impact Integrated telah respon terhadap tuduhan fitnah ini," jelasnya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Pada 13 Mac 2023, Badrul Hisham menerusi kenyataan di Facebook mendakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan dana dari KBS sedang mencari belia bukan Kristian untuk di bawa ke gereja.

Menurutnya, belia akan terlibat bersama dengan matlamat untuk memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.

Dalam pada itu, Impact Integrated turut menyangkal dakwaan pihaknya menganjurkan program 'Kristian Evangelis'.

Jelasnya dalam satu kenyataan, Projek Artikel 11 adalah sebahagian daripada inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

"Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

"Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan," ujarnya.

Tambah kenyataan tersebut, lawatan sebelum ini adalah menerusi program Jom Ziarah Masjid di Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac 2023 yang melibatkan lapan peserta berbangsa Cina dan India.

"Manakala, Program Jom Ziarah Gereja merupakan lawatan ketiga, dan satu lagi program Jom Ziarah Gurdwara di Gurdwara Sahib Shah Alam diadakan pada 11 Mac 2023 melibatkan tiga peserta berbangsa Cina," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!