KDN rampas alat mainan seks bernilai RM1.1 juta
BUTTERWORTH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan merampas 22,929 unit alat mainan seks bernilai RM1.1 juta di sebuah stor di Bukit Mertajam pada 15 Februari lalu.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan itu melibatkan pelbagai bentuk alat mainan seks termasuk patung seks, alat kemaluan lelaki dan wanita serta peralatan mainan lain yang dilarang di negara ini.
Menurutnya, serbuan dilakukan menerusi Ops Maya 2.0 pada jam 12 tengah hari itu hasil daripada siasatan dan risikian pihaknya mengenai penjualan alat mainan seks terbabit yang dilihat kian berleluasa di platfom dalam talian di negara ini.
"Dalam serbuan itu, kita menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang mengaku sebagai pengurus stor terbabit.
"Hasil risikan mendapati kegiatan ini sudah beroperasi sejak 2022 yang mana alat mainan seks ini dipercayai buatan luar negara dibawa masuk melalui pelbagai kaedah ke dalam negara ini,"katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDN Pulau Pinang, di sini pada Selasa.
Nik Yusaimi berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana mengedar dan menjual barang-barang lucah.
Katanya, KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan elemen yang memudaratkan moral, ketenteraman awam, keselamatan negara dan menggemparkan fikiran orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!