United tak rayu kad merah Casemiro

Casemiro (kanan) dilayangkan kad merah pada aksi menentang Southampton Ahad lalu. -Foto AFP
Casemiro (kanan) dilayangkan kad merah pada aksi menentang Southampton Ahad lalu. -Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER United tidak berhasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atas Casemiro selepas pemain itu dilayangkan kad merah ketika menentang Southampton hujung minggu lalu.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan Casemiro selayaknya mendapat kad merah kerana terjahan berbahaya ke atas Carlos Alcaraz dalam babak pertama perlawanan di Old Trafford itu.

Pengurus United, Erik ten Hag mempertikai keputusan tersebut selepas perlawanan dengan mendakwa terjahan yang dilakukan pemain berusia 31 tahun itu 'keras tetapi bersih' dan melabel keputusan itu sebagai 'boleh dipertikaikan'.

Bagaimanapun United pada awal pagi Selasa mengesahkan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan pemain tengah itu kerana menganggap mereka 'tidak memiliki peluang besar untuk mengubah penggantungan itu'.

Pemain Brazil itu turut dilayangkan kad merah ketika United menewaskan Crystal Palace 2-1 bulan lalu.

Layangan kad merah itu menjadikan Casemiro pemain pertama kelab tersebut menerima dua kad merah dalam satu musim Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Nemanja Vidic menerima nasib sama dalam kempen 2013/14.

Kad merah keduanya dalam kempen kali ini menyaksikan Casemiro perlu menjalani penggantungan empat perlawanan domestik.

Dia bakal terlepas aksi suku akhir Piala FA menentang Fulham hujung minggu ini selain tiga aksi liga bertemu Newcastle United, Brentford dan Everton.

Bagaimanapun Casemiro dijangka boleh beraksi ketika Red Devils berkunjung ke laman Real Betis bagi perlawanan kedua pusingan 16 Liga Europa pada awal pagi Jumaat ini.

United berada dalam kedudukan selesa apabila membawa bekalan besar selepas melakar kemenangan 4-1 di Old Trafford minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!