Transit cecair vape sebelum seludup ke Thailand

Cecair vape yang dirampas di dalam sebuah rumah melalui Ops Bersepadu.
Cecair vape yang dirampas di dalam sebuah rumah melalui Ops Bersepadu.
A
A
A

TUMPAT - Polis Tumpat merampas pelbagai jenis barang seludup dengan nilai keseluruhan RM158,432 melalui Ops Bersepadu bermula Selasa.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, antara yang dirampas ialah cecair ketum, cecair vape, ganja, beras serta petrol.

Menurut beliau, rampasan terbesar ialah cecair vape pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM150,000 di sebuah rumah di Taman Sribayu, dekat sini.

"Kita menahan seorang lelaki berusia lingkungan 38 tahun di sebuah rumah kira-kira jam 5 petang. Soal siasat membawa kepada sebuah kediaman lain yang dijadikan tempat menyembunyikan vape ini," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Jelasnya, lelaki yang mengaku bekerja sebagai seorang konsultan di sebuah firma guaman di Selangor itu dipercayai bertindak sebagai pengedar kerana mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan vape.

Tambah beliau, siasatan lanjut turut mendapati kotak mengandungi cecair vape itu baru sahaja tiba di kediaman suspek yang dijadikan transit sebelum diseludup ke Thailand.

"Mereka menggunakan khidmat syarikat penghantar barang untuk menghantar cecair vape itu dan dipercayai akan dilakukan proses pembungkusan semula.

"Polis percaya, bekalan yang juga rampasan terbesar tahun ini diambil dari Lembah Klang," katanya.

Amran (tengah) menunjukkan cecair ketum.
Amran (tengah) menunjukkan cecair ketum.



Amran berkata, lelaki itu bagaimanapun negatif dadah dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 13A Akta Racun 1952.

Beras pelbagai jenama yang dirampas dalam Ops Bersepadu
Beras pelbagai jenama yang dirampas dalam Ops Bersepadu

Sementara itu katanya, operasi berkenaan turut berjaya merampas 71 kampit beras pelbagai jenama bernilai RM6,229 yang diseludup dari negara jiran dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Dalam operasi 18 jam berakhir jam 6 pagi Rabu itu turut memeriksa 1,231 individu dan 1,063 kenderaan selain 21 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

"Kita juga membuat pemantauan di jeti dan pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Simpangan dan Kuala Jambu Simpangan.

Ops Bersepadu dengan kerjasama 11 agensi termasuk Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Kastam itu dilaksanakan di darat dan Sungai Golok sepanjang lebih 12 kilometer.

Operasi dibahagikan kepada sepuluh pasukan melibatkan pemeriksaan dan serbuan, sekatan jalan raya, rondaan dan pasukan khas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!