Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Kelantan membimbangkan

Tengku Maimun (kiri) menyambut ketibaan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid semasa majlis perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu, pada Selasa.
Tengku Maimun (kiri) menyambut ketibaan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid semasa majlis perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu, pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat meluahkan kebimbangan terhadap kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak 59 kes yang dilaporkan berbanding jenayah seksual dewasa hanya 18 kes sahaja.

"Dalam hal ini semua pihak perlu sentiasa dalam memastikan hak dan kebajikan kanak-kanak yang merupakan golongan rentan sentiasa diberikan keutamaan.

"Manakala mangsa kanak-kanak perlu diberikan perlindungan yang sewajarnya," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini pada Selasa.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Menurut beliau, di pihak mahkamah, kes jenayah seksual kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan menerusi pengendalian prosiding dalam mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, ujar Tengku Maimun, bagi tempoh Januari hingga Disember 2022, jumlah keseluruhan pendaftaran kes sivil dan kes jenayah di semua peringkat mahkamah di Kompleks Mahkamah Kota Bharu ialah 13,579 kes.

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, 6,412 adalah kes jenayah dan kes terbanyak melibatkan kesalahan berkaitan dadah.

"Di Mahkamah Tinggi, pendaftaran kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah sebanyak 72 kes.

"Manakala di Mahkamah Sesyen pula, kes tangkapan bagi kesalahan berkaitan dadah berjumlah 254 kes dan di Mahkamah Majistret pendaftaran kes berkaitan kesalahan dadah adalah sebanyak 3357 kes," katanya.

Ujar beliau, Badan Kehakiman sentiasa komited untuk memastikan semua kes dilupuskan dengan efisien.

Namun demikian, Tengku Maimun memberitahu, untuk menangani mahupun mencegah kesalahan-kesalahan jenayah terutamanya kesalahan berkaitan dadah, peranan mahkamah semata-mata tidak mencukupi.

Beliau berkata, sebaliknya, semua pihak hendaklah bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing demi membanteras isu ini kerana kesannya yang amat dahsyat sehinggakan boleh memusnahkan masa depan terutamanya generasi muda, bahkan boleh melumpuhkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!