Nekad jalan kaki 100km, atasi tekanan

Mohamad Sukerie mengambil masa dua hari berjalan kaki dari Selangor ke Melaka.
Mohamad Sukerie mengambil masa dua hari berjalan kaki dari Selangor ke Melaka.
A
A
A

MELAKA - Seorang bapa kepada empat orang anak sanggup berjalan kaki sejauh lebih 100 kilometer dari Selangor ke Melaka sebagai cabaran kepada diri sendiri untuk manfaat kesihatan mental dan fizikal.

Bekas cef, Mohamad Sukerie Hasan, 28, berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutama ketika pandemik Covid-19, dia diuji dengan pelbagai dugaan termasuk terpaksa menjual restoran yang selama ini menjadi punca rezeki mereka sekeluarga.

Malah menurutnya yang menetap di Puchong, Selangor, dia bukan sahaja kehilangan pekerja, malah terpaksa menjual kenderaan dan sebagainya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, dengan berjalan kaki selama dua hari ke Melaka, dapat menginsafi diri secara tidak langsung mempromosikan gaya hidup sihat dan menghilangkan stres yang dialami.

"Ketika itu demi nak membayar gaji pekerja, saya sanggup jual apa sahaja harta yang ada dan menumpang tinggal di rumah adik-beradik di flat.

"Saya gunakan cara berjalan kaki ini untuk mengurangkan tekanan yang saya hadapi," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Mohamad Sukerie (kiri) disambut rakannya, Anarkaley Md Nor ketika tiba di Melaka pada malam Isnin.
Mohamad Sukerie (kiri) disambut rakannya, Anarkaley Md Nor ketika tiba di Melaka pada malam Isnin.

Tambah anak kelahiran Perak itu, dia juga diduga dengan anak yang sakit sehinggalah anak perempuannya meninggal dunia selain isterinya yang ketika itu sedang mengandung mengalami keguguran.

Ujarnya, tekanan boleh menyebabkan depresi dan ia bukanlah perkara yang boleh diperlekehkan sambil memberitahu aktiviti bersukan salah satu membantu kesihatan mental dan fizikal.

Katanya, demi keluarga dia bangkit semula dengan menjual nasi lemak RM1 berdekatan dengan kediamannya, namun sambutannya agak kurang.

"Saya berharap ALLAH SWT terus memberikan kesabaran kepada saya untuk mencari rezeki untuk keluarga lebih-lebih lagi ada bantuan yang saya mohon ditolak.

"Harap kehidupan saya selepas ini akan lebih bersinar lagi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!