Patuhi kod etika pemakaian di premis kerajaan - Exco
SEREMBAN - Orang awam perlu mematuhi kod etika pemakaian yang telah ditetapkan ketika berurusan di premis kerajaan.
Exco Hal Ehwal Wanita,Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berpendapat semua rakyat di negara ini sepatutnya sudah sedia maklum tentang garis panduan ini dan seharusnya dipatuhi.
"Berdasarkan garis panduan jabatan kerajaan iaitu sama seperti garis panduan di sekolah-sekolah di mana skirt harus berada di bawah paras lutut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai luahan seorang wanita berusia 28 tahun yang tidak dibenarkan masuk ke bangunan kerajaan di Wisma Negeri di sini pada Isnin.
Wanita berkenaan memakai baju labuh paras lutut, namun bahagian tepi pakaiannya mempunyai sedikit belahan sehingga menampakkan pehanya.
Selain itu, lebih mengecewakan apabila dia telah mengambil cuti semata-mata untuk menyelesaikan urusannya di premis kerajaan itu, namun terpaksa ditangguhkan.
Dalam pada itu, Nicole berkata, terdapat cadangan untuk menyediakan jubah dan sarung di bilik sekuriti premis kerajaan supaya mereka (individu memakai pakaian tidak sesuai) tidak perlu pulang.
"Semua pihak mempunyai kebebasan untuk memakai busana sendiri berdasarkan kepada garis panduan sedia ada. Mungkin ia harus diperjelaskan melalui program kesedaran.
" Apa yang penting, kita harus berpandukan kepada semangat yang terkandung dalam Rukun Negara di samping ada kebebasan kaum masing-masing. Ia harus diimbangkan dengan kesopanan dan kesusilaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!