Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang pengurus sebuah syarikat perikanan direman tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes suapan bulanan melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 1 Langkawi.

Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek berusia 37 tahun itu, dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai terlibat sebagai orang tengah memberi suapan bulanan kepada anggota APMM, sebagai dorongan mengelak bot diperiksa anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.

Katanya, suspek ditahan semalam di Kuala Perlis bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM itu berkata, seorang anggota Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan Maritim ditahan oleh SPRM di Sandakan, Sabah kerana dipercayai menerima supanan bulanan ketika bertugas di Pulau Langkawi, Kedah.

Beliau berkata, SPRM akan melakukan satu lagi tangkapan terhadap seorang lagi anggota Maritim Malaysia berpangkat Bintara Kanan Maritim, melibatkan kes yang sama.

Sumber itu berkata, sehingga kini seramai tujuh anggota Maritim Malaysia dan dua orang awam ditahan sejak Februari, bagi membantu siasatan menerima suapan bulanan melibatkan anggota Maritim Malaysia Daerah Maritim 1 Langkawi dan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis.

Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!