Mahkamah benarkan perenggan kenyataan Emilia digugurkan

SM Faisal dan Emilia.
SM Faisal dan Emilia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, membenarkan permohonan pasukan pembelaan bagi pihak ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin untuk menggugurkan beberapa perenggan dalam pernyataan saksi bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Majistret Nadia Othman memutuskan demikian semasa prosiding kes Emilia, yang didakwa dipukul SM Faisal, lapan tahun lalu.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal berkata, terdapat beberapa perenggan dalam penyataan saksi Emilia, tidak relevan dengan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Susulan itu beliau memohon, mahkamah mengeluarkan perintah supaya perenggan berkenaan, dikeluarkan.

"Sekiranya penyataan saksi Emilia termasuk beberapa perenggannya yang digugurkan dibaca, ia menjadi sebagai tidak praktikal.

“Saya mohon penyataan saksi ini tidak dibaca hari ini kerana akan memporak-perandakan sekali gus tiada turutan dalam pernyataan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria membantah perkara itu dengan menyatakan bahawa, ia menjadi suatu yang tidak adil.

“Saksi perlu baca penyataan saksinya termasuk beberapa perenggan yang digugurkan,” katanya.

Mendengar perkara itu, mahkamah menangguhkan prosiding kepada 24 Mac depan.

SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, peguam pemerhati, Nizam Bashir bagi pihak Emilia, memberitahu media bahawa, pihaknya tidak mengetahui alasan tidak dibenarkan masuk ketika perbincangan prosiding itu dibuat dalam kamar.

Sedangkan, beliau telah mengamati perjalanan prosiding, sejak beberapa bulan lalu.

"Tugas saya ialah memerhati, malah saya akan tegur jika sesuatu perkara di luar landasan undang-undang.

"Saya boleh membantu sekiranya dijemput oleh mahkamah, kerana saya sentiasa menjalankan tugas seikhlas mungkin,” katanya.

Selain Nizam, peguam pemerhati lain yang turut hadir ialah Nazri Yahya, Amirul Iman Dollah dan Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co.

Ia termasuk wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladi dan wakil Women's Aid Organisation.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!