Tonik semangat buat skuad Kenari

Manuel Hidalgo (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin. - Foto Bernama
Manuel Hidalgo (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

TIGA mata diraih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika menewaskan Kelantan United 3-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin disifatkan satu tonik semangat buat skuad Kenari tersebut.

Penolong pengendali KDA FC, Victor Andrag berkata, kemenangan ketiga liga selepas mengharungi empat perlawanan itu amat penting dalam meningkatkan motivasi pasukan yang terpalit dengan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

“Sebenarnya walaupun KDA tanpa pengendali Nafuzi Zain, namun perancangan taktikal datangnya daripada dia, dan pemain-pemain menterjemahkan dengan sempurna dalam perlawanan ini.

“Tahniah kepada pemain-pemain Kedah kembali ke prestasi sebenar dalam perlawanan malam ini dan akhirnya kembali melakar rentak kemenangan yang sememangnya penting untuk moral team bagi perlawanan di laman sendiri nanti.

“Kemenangan sememangnya amat cukup bermakna selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut yang menyaksikan prestasi merudum sebelum ini.

“Tahniah juga buat Kelantan United juga yang telah memberikan saingan sengit kepada KDA sehingga perlawanan tamat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Isnin.

KDA raih tiga mata di Kota Bharu hasil jaringan Willian Lira minit ke-34, penalti Manuel Hidalgo (m-45) dan Al Hafiz Harun (m-79), manakala Kelantan United merapatkan defisit menerusi Devid Silva (m-21) dan penalti Yan Victor (m-88).

Anak buah Nafuzi sebelum ini tewas dua perlawanan berturut-turut bermula dijinakkan 0-1 PDRM FC dalam perlawanan Liga Super yang menyaksikan dua layangan kad merah diterima tuan rumah Manuel Ott dan Nafuzi di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 4 Mac lalu.

Nasib malang terus menimpa KDA apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Piala FA setelah tewas 3-4 menerusi penentuan penalti kepada Penang FC setelah terikat 2-2 sehingga masa tambahan di Stadium Darul Aman 8 Mac.

Pada masa sama Victor menegaskan jaringan yang terhasil dalam perlawanan tersebut adalah komitmen dalam kalangan pemain Hijau Kuning.

Katanya, peluang dicipta juga keberkesanan daripada taktikal yang dipraktikkan pasukan sepanjang perlawanan ini.

“Gol KDA terhasil dari asakan dan peluang yang diterjemahkan dalam bentuk jaringan dalam kalangan pemain.

“Kita juga berjaya memanfaatkan kesilapan yang dilakukan pemain Kelantan United apabila menghukum pasukan lawan dengan jaringan,” katanya.

Pada masa sama Victor juga merendah diri apabila menegaskan KDA bukan pasukan pencabar kejuaraan pada musim ini selepas berada di kedudukan keempat liga.

Sebaliknya tegas Victor, fokus utama Hijau Kuning pada masa ini adalah untuk mengekalkan tahap konsisten dalam setiap perlawanan.

“Setiap pasukan dalam saingan liga biarpun berada di kedudukan terbawah atau teratas masing-masing akan berusaha memberikan cabaran sengit kepada KDA.

“Jadi KDA perlu fokus memberikan persembahan konsisten dari satu perlawanan ke satu perlawanan bagi meraih keputusan positif dalam baki saingan musim ini,” katanya.

KDA akan melayan kunjungan Kuching City di Stadium Darul Aman, pada Jumaat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!