Phahrolrazi sokong Kedah tuntut caj air mentah

Phahrolrazi ketika membahaskan usul penghargaan titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.
Phahrolrazi ketika membahaskan usul penghargaan titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang Kedah memberi sokongan atas usaha kerajaan negeri menuntut caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (PH-Alor Mengkudu berkata, beliau menyifatkan tuntutan terhadap Pulau Pinang itu relevan kerana Kedah perlu menanggung kos penyelenggaraan air yang di ekstrak dari Sungai Muda.

"Bagi saya, Pulau Pinang perlu bayar pada kita sebab kita (Kedah) kena pelihara hutan (tadahan air), sungai kena jaga. Semua kos ini kita yang tanggung.

“Bagaimanapun, saya sedar bahawa tiada peruntukan dari sudut undang-undang (untuk mengenakan pertuduhan),” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika membahaskan usul penghargaan titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.

Beliau berpandangan, tuntutan Kedah wajar memandangkan rakyat Kedah sendiri juga terpaksa membayar air yang digunakan di negeri itu.

"Rakyat kita hendak ambil air pun kena bayar. Namun, orang lain ambil air tanpa bayar. Jadi, apa yang berlaku kepada panel (undang-undang)? "soalnya.

Sebelum itu, Phahrolrazi turut mempersoalkan tentang status panel peguam dilantik Kedah untuk menguruskan tuntutan caj air mentah diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda.

Pada Januari 2022, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Kedah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam isu tuntutan terbabit.

Kerajaan Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!