Dakwaan Hamzah simpan fail pemimpin kerajaan hanya retorik
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa beliau menyimpan fail pemimpin kerajaan hanyalah retorik semata-mata.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jika pihak pembangkang mahu membuat sebarang pendedahan, pastikan ia mempunyai kepentingan awam, bukan hanya untuk mendapatkan kelebihan politik.
Ini kerana menurutnya, rakyat kini sudah semakin bijak dalam menilai sesuatu perkara.
"Saya berada di kedudukan mereka sebelum ini, hanya ada satu masa saya menggunakan dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan ia adalah kerana keadaan mendesak, pada masa itu saya telah berusaha tetapi tidak mendapat maklum balas.
"Jadi secara asasnya jika pembangkang mahu mendedahkan salah laku kerajaan, mereka perlu mempertimbangkan sama ada mereka sanggup atau tidak mengambil risiko.
"Itulah sebabnya saya tidak terlalu bimbang kerana saya ragu mana-mana ahli politik ingin mengambil risiko untuk pergi ke penjara seperti yang saya lakukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 di sini, pada Selasa.
Media pada Ahad melaporkan Hamzah mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.
Menurutnya, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.
Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, seharusnya pembangkang tidak memerlukan dokumen OSA untuk mendedahkan skandal besar.
"Pengalaman saya sendiri selalunya tidak memerlukan dokumen di bawah OSA. Jika terdapat skandal besar yang melibatkan sesiapa sahaja, maklumat dan dokumen itu akan keluar sekarang.
"Kemungkinan besar media akan mendapatnya. Kita hidup dalam era di mana kita tidak boleh benar-benar menyimpan atau menutup perkara (skandal) seperti ini.
"Kita hanya tunggu dan lihat, saya tidak mahu terlalu terggangu dengan semua ini. Kita ada banyak lagi kerja dan saya lebih memilih untuk melaksanakan kesemua perancangan serta melihat pelaksanaan projek sukar yang perlu kita lihat satu demi satu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!