Juara dunia wushu teruja tampil di Sukan SEA
MENGIKUT kebiasaannya, seseorang atlet akan memulakan karier antarabangsa menerusi Sukan SEA sebelum beraksi di peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.
Namun, ia bukan laluan bagi Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 Tan Cheong Min.
Atlet wushu berusia 24 tahun itu sudah terlebih dahulu muncul juara dunia dan beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, namun hanya akan membuat penampilan pertama Sukan SEA di Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.
Ia berikutan acaranya tidak dipertandingkan dalam edisi 2019 di Filipina dan Vietnam pada 2021.
Cheong Min yang menjadi atlet wushu pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan akan beraksi dalam acara Nanquan/Nangun dan Nandao individu serta Duilian berpasukan pada temasya kali ini.
“Akhirnya saya dapat mewakili negara ke Sukan SEA untuk melengkapkan penyertaan dalam semua peringkat. Seperti setiap atlet, matlamatnya adalah untuk meraih emas, tetapi yang lebih penting saya mahu mempamerkan prestasi yang baik untuk mengelakkan potongan mata atau kesilapan.
“Sudah pastinya cabaran sengit akan hadir daripada peserta Indonesia, Vietnam dan Myanmar. Namun, yang paling penting adalah berjuang dengan diri sendiri kerana walaupun ada skill hebat, tapi kalau mental tak bagus ketika pertandingan, tak guna juga,” katanya.
Cheong Min yang beraksi cemerlang di Kejohanan Dunia 2019 di Shanghai, China, dengan membawa pulang emas acara Nandao serta perak bagi Nanquan dan Duilian bersama Phoon Eyin dan Loh Ying Ting, berkata acara Nandao dan Nangun digabungkan menjadi acara menawarkan satu pingat di Sukan SEA.
Skuad wushu negara dijadualkan menyertai latihan selama sebulan di China sebagai persiapan untuk Sukan SEA, diikuti Sukan Asia Hangzhou 2022 yang ditunda setahun dari 23 September hingga 8 Oktober tahun ini.
“Buat masa ini, persiapan sudah capai 80 peratus, mungkin selepas latihan di China, akan capai 100 peratus. Sukan SEA ini sebenarnya lebih kepada kejohanan pemanas badan untuk pemilihan ke Sukan Asia nanti,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!