Hanya Exco agama Terengganu miliki tauliah ceramah
KUALA TERENGGANU - Hanya seorang ahli politik di negeri ini yang memiliki tauliah dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid dan surau di negeri ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, individu tersebut adalah Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Menurutnya, tauliah yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu diberikan atas kapasiti ahli mesyuarat kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal agama.
"Mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah Terengganu 2013, pengecualian tauliah diberikan kepada menteri atau ahli mesyuarat kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal agama Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada Selasa.
Shaikh Harun berkata, pihaknya bersifat terbuka terhadap mana-mana individu atau ahli politik yang ingin memohon mendapatkan tauliah berdasarkan kelayakan ditetapkan.
Menurut beliau, setiap pemohon tauliah perlu melalui proses temuduga yang diketuai oleh mufti negeri.
"Antara kelayakan adalah perlu ada latar belakang agama. Kita tiada halangan jika ada mahu memohon tapi mengikut pengetahuan saya setakat ini, belum ada permohonan (dari ahli politik)," katanya.
Sebelum ini, MAIDAM mengeluarkan kenyataan semua pemimpin dan aktivis politik di negeri ini tidak dibenarkan menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.
Susulan itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang menyarankan pemimpin dan aktivis politik daripada parti itu supaya memohon tauliah bagi membolehkan mereka menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau secara sah di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!