Pernas suntik RM5 juta bangunkan francais jenama sukan lasak

Saraswathy (empat dari kiri) selepas menyerahkan replika cek Skim Pembiayaan Lisensi (Projek BYOB) Pernas kepada FTW Racing cawangan Selatan dan Kuantan pada Selasa.
Saraswathy (empat dari kiri) selepas menyerahkan replika cek Skim Pembiayaan Lisensi (Projek BYOB) Pernas kepada FTW Racing cawangan Selatan dan Kuantan pada Selasa.
A
A
A

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) memberikan suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta kepada FTW Ventures Sdn Bhd melalui jenamanya FTW Racing sebagai usaha untuk membantu jenama itu ke arah francais.

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.5 juta bagi membolehkan FTW Racing mendapat hak eksklusif bagi jenama sukan lasak, Fox Racing untuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Pernas juga memberikan suntikan pelaburan RM2.5 juta lagi untuk syarikat tersebut terus berkembang sehingga mendapat hak penjualan tunggal untuk bagi jenama-jenama terkemuka di dalam industri sukan lasak serta membuka outlet-outlet di negara jiran.

"Melalui bantuan Pernas, FTW Ventures mempunyai sasaran untuk membuka 14 buah outlet di seluruh Malaysia dalam masa dua tahun," katanya pada majlis perasmian outlet FTW Racing di sini pada Selasa.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami merasmikan pembukaan outlet tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures, Hairolsham Abu Bakar.

Menurut Hazimah, FTW Ventures telah menyertai Program Xcelerator yang dianjurkan oleh Pernas pada 2021.

Katanya, melalui penyertaan program Xcelerator, Pernas menyasarkan untuk mendaftarkan jenama FTW Racing sebagai francaisor selewat-lewatnya Julai 2023.

"Program Xcelerator yang disertai oleh FTW Ventures dan usahawan-usahawan lain ini merupakan program membimbing dan membangunkan usahawan berpotensi ke arah perniagaan francais,” katanya.

Sementara itu Saraswathy berkata sejak skim pelaburan Pernas diperkenalkan pada tahun 1998 sehingga kini, Pernas telah melabur dalam 86 syarikat dengan jumlah pelaburan sebanyak RM977 juta.

“Bagi tempoh lima tahun dari tahun 2021 sehingga tahun 2025, Pernas memperuntukkan RM60 juta setiap tahun iaitu RM300 juta untuk tempoh lima tahun bagi aktiviti pelaburan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!