Bekas peguam mengaku tidak bersalah pecah amanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah hasil jualan rumah pelanggannya lebih RM300,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fairuz Mohd. Dahlan, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai peguam di firma Messrz Fairuz & Associates didakwa melakukan pecah amanah iaitu wang berjumlah RM338,000 hasil jualan sebuah rumah di Jalan Bunga Mawar, Taman Maju Jaya, Cheras, di sini milik pelanggannya, Abdul Razak Ahmad, 60.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam firma itu, Saville Melawati, Service Apartment, Jalan Kolam Air, Desa Melawati, Wangsa Maju, di sini, pada 1 November 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah mencadangkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam bela Shahrul Nizam Azwir memohon mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin rendah dengan alasan firma tertuduh itu telah tutup,

"Tertuduh kini bergantung pada pendapatan sampingan sebagai pemandu Grab. Dia telah berkahwin dan turut menanggung ibu, serta adik lelakinya yang sindrome down," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!