Lebih 1 juta jayakan kempen jom baca di Johor
JOHOR BAHRU - Lebih sejuta masyarakat Johor menjayakan Kempen Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang berlangsung secara serentak di seluruh negara hari ini.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, kesemua yang terlibat terdiri daripada pelajar dan guru sekolah, warga institut pengajian tinggi (IPT) selain agensi swasta dan jabatan kerajaan.
"Lebih daripada 550,000 pelajar serta guru dan staf dari 1,187 buah sekolah terlibat dalam kempen ini. Selain itu, kita juga galakkan warga IPT yang ada di Johor.
"Jika dicampur dengan penglibatan agensi dan jabatan kerajaan serta pihak swasta hari ini, saya jangkakan kita mencapai lebih sejuta orang terlibat dalam pembacaan hari ini," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Kempen Jom Baca Bersama 10 Minit di Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau di sini, hari ini.
Menurutnya, kempen tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran dan menanamkan budaya serta minat membaca di kalangan seluruh masyarakat termasuklah bangsa Johor.
"Kita mahu semua pihak dapat menjadikan membaca ini satu budaya yang bukan sekadar hanya membaca, tetapi mengamalkan apa dibaca bagi menambah ilmu pengetahuan.
"Budaya membaca ini bukan sahaja dapat membantu dalam kerjaya masing-masing, malah membantu mereka yang terlibat dalam kajian saintifik dan inovasi untuk melakukan sesuatu baru," katanya.
Dalam ucapannya, Aminolhuda berkata, amalan dan budaya membaca adalah sebahagian daripada pembelajaran sepanjang hayat.
"Aktiviti membaca adalah sesuatu yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Membaca bukanlah sekadar mengasah fikiran, bahkan ia memberi santapan kepada rohani kita.
"Maka, di sini peranan semua pihak tidak kira ibu bapa, pustakawan, pendidik dan pemimpin dalam bersama mewujud serta membangkitkan suatu perasaan 'keasyikan' untuk membaca," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!