'Kalau saya memihak, baik saya menangkan anak saya' - Zahid
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak berpihak kepada mana-mana individu dalam pemilihan parti itu yang sedang berlangsung.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, sesiapa sahaja yang menang adalah 'orangnya'.
"Bagi saya, siapa yang menang itu semua orang saya sebab saya adalah Presiden UMNO. Saya tidak mahu ada kabilah-kabilah di dalam UMNO. Paling penting, mereka yang menawarkan diri sama ada jawatan Ketua Wanita, Pemuda atau Puteri ada berjumpa saya untuk mendapatkan restu.
"Kalau saya memihak dan mahu memenangkan seseorang, saya fikir lebih elok saya menangkan anak saya sendiri sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk (tetapi), jelas beliau kalah.
"Kalau saya menyokong seseorang sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia, bagaimana bahagian saya menyokong orang lain? Jadi dalam perkara ini, saya praktikkan bahawa hak perwakilan adalah memilih yang terbaik dalam kalangan yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Agenda Awani pada Selasa malam.
Dalam pada itu, ketika menyentuh isu keyakinan terhadap sokongan orang Melayu kepada UMNO, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, parti itu tidak pernah sesekali berkompromi terhadap isu agama Islam dan bangsa Melayu.
Bagaimanapun ujarnya, pada masa sama UMNO tetap menyantuni penganut agama lain selain sentiasa meraikan perbezaan pendapat.
"Tidak ada paksaan untuk kita mengajak orang lain bersama-sama dengan kita atau menjadi Islam. Tetapi apabila kita menyantuni, kita meraikan perbezaan pendapat.
"Ada akhlak dan metodologi yang perlu kita ikuti dalam perbezaan pendapat, serta kepelbagaian pelbagai aspek harus kita santuni.
"Akhirnya kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan (sebagai) tokoh pembangkang selama 25 tahun tetapi sebelum itu berada dalam kerajaan selama dua dekad dan membuat perbandingan terbaik mengenai rupa bentuk bangsa Malaysia selari Konsep Malaysia Madani," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!